Monday, July 8, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Dirasuk iblis dua beranak

    Oleh Adi MIra HM –

    Peristiwa yang ingin saya ceritakan ini berlaku pada tahun 1997 dan terjadi kepada abang saya. Waktu itu dia sedang menjalani satu kursus wadar di Jerudong.

    Kejadian ini berlaku pada satu petang, ketika abang saya dan kawan-kawannya diarahkan oleh ketua mereka untuk membersihkan halaman di belakang berek mereka. Sebaik sahaja menerima arahan, mereka semua berkumpul dan membawa sebilah parang setiap seorang.

    Mereka keluar dari berek setelah siap dengan barang masing-masing dan menuju ke belakang berek. Mereka pun memulakan kegiatan menebas rumput-rampai dan menebang semua pokok kecil.

    Ketika mereka asyik menebas dan menebang pokok, abang saya terjumpa sebatang akar pokok liar yang telah menjalar masuk ke kawasan berek mereka. Dengan tidak semena-mena, abang menebang akar pokok itu dengan tidak membaca apa-apa ayat pun. Setelah sambungan akar itu dibuangnya, dia pun terlihat getah akar itu mengalir, tapi yang dilihatnya itu bukanlah getahnya tapi darah merah kehitaman yang mengalir dengan banyaknya. Dia berasa sangat takut dengan apa yang telah dilihatnya lalu memberitahu kawan-kawannya dan mengajak mereka pulang semula ke berek. 

    Pada malamnya, abang saya telah bermimpi yang dia telah didatangi oleh dua orang lembaga yang tidak berapa jelas rupanya dan lembaga itu memberitahu bahawa abang saya telah membunuh salah seorang keluarga mereka dan sekarang abang saya mesti menanggung akibatnya. Setelah lembaga itu menghilang, abang saya pun menjadi seorang pendiam dan pemarah sedangkan sebelumnya dia tidak begitu.

    Gambar Freepik

    Semasa mereka dibenarkan pulang ke rumah, abang pun mengadu kepada ayah yang dia sakit kepala dan badannya berasa panas sekali. Ayah pun cuba menawari abang dengan anggapan yang abang itu sedang demam. Setelah menawari, pada malamnya ayah pun bermimpi bahawa abang telah dirasuk oleh lembaga yang mendatangi abang dulu.

    Lembaga itu tidak berasa puas hati dan akan menetap di dalam badan abang sehingga akhir hayatnya. Kami semua pun berasa susah hati dan ayah pula berusaha untuk mencari orang yang pandai mengubatinya.

    Ramai orang yang telah mengubati abang tapi masih belum sembuh jua dan salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa abang telah dimasuki oleh iblis dua beranak. Ia sangat kuat dan hanya orang yang sangat arif sahaja boleh mengeluarkannya. Ayah pun teringat akan saudaranya yang berada di Kampung Tungku yang pandai menangani masalah sedemikian.

    Keesokan harinya, ayah pun membawa abang berjumpa dengan saudaranya itu, iaitu Tua saya. Tua berasa terkejut apabila melihat keadaan abang saya dan dia juga berasa marah kepada ayah saya kerana tidak membawa abang saya lebih awal lagi. Tua pun segera menyiapkan segala perkakasnya dan membakar kemenyan. Setelah seluruh ruang rumah itu dipenuhi asap kemenyan, Tua pun segera memulakan upacara menurun. Selesai sahaja Tua menurun, abang pun segera dipanggil untuk upacara mengeluarkan roh jahat.

    Mula-mula Tua mengurut badan abang dari atas kepalanya terus ke seluruh badan termasuk kaki. Selesai sahaja Tua mengurut abang, dia pun mengambil sebatang keris pusaka turun-temurun dan segera meletakkannya di atas kepala abang. Sejurus itu jugalah kedengaran satu teriakan keras keluar dari mulut abang. Tua segera menahan kepala abang saya dari sakit lagi dan mencuba mengeluarkan iblis itu dari bahagian kaki.

    Sedang asyik Tua mengurut, abang pun bercakap, “Tu nah wa eh! Di kaki ia sudah, bah keluar tia laju. Inda kutahan lagi ni!” Tua pun segera menangkap salah satu ibu jari kaki abang dan segera mengeluarkannya dari badan abang. Setelah iblis itu dikeluarkan, kedengaranlah satu bunyi dentuman yang kuat di luar rumah. Tua memberitahu kami bahawa salah satu anaknya masih ada di dalam tubuh abang dan ia mesti juga dikeluarkan kerana ibunya sedang mengamuk setelah diceraikan dengan anak-anaknya. Tua pun memulakan upacara tadi dan berjaya mengeluarkan anak iblis itu.

    Sesudah selesai upacara itu, abang pun berasa sihat dan bertenaga semula dan dia pun memberitahu bahawa dia tidak percaya akan hal tadi itu dari dulu lagi tapi setelah dia mengalaminya dan menyaksikannya dengan mata kepalanya sendiri barulah dia percaya.

    Tua pun menasihati abang walaupun kita percaya akan hal demikian tapi jika ia telah ditakdirkan akan terjadi pada diri seseorang itu, ia pasti akan terjadi. Tua pun bercerita bagaimana iblis dua beranak itu merasuk ke dalam tubuh abang.

    Tua pun mengingatkan abang akan akar yang telah ditetaknya itu dan abang pun ingat akan peristiwa itu. Tua memberitahu bahawa abang telah tertetak anak iblis itu sewaktu anaknya itu sedang bermain di akar liar itu dan iblis itu berasa marah dan segera meninggalkan tempat itu dan masuk ke badan abang kerana abanglah yang menyebabkan anaknya terbunuh. Tua pun menyuruh abang mengambil semula potongan akar itu dan meletak semula di bawah pokok liar itu. Abang menyesal benar atas apa yang terjadi terhadap dirinya dan mulai saat itulah dia sangat percaya akan hal-hal yang ghaib atau iblis syaitan.

    Cerita ini memang benar-benar nyata. Sebagai saksinya, penulis sendiri ada pada masa itu dan berharap kepada semua umat manusia yang berada di alam nyata ini percayalah akan Allah yang telah menjadikan syaitan yang durjana itu kerana mereka juga adalah salah satu makhluk Allah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6 skala Richter landa Jepun

    KUALA LUMPUR, 8 JULAI - Satu gempa bumi kuat berukuran enam pada skala Richter dikesan berlaku di Kepulauan Bonin, Jepun pada jam 4.01 pagi tadi.  Jabatan Meteorologi Malaysia...