Oleh Aqilah HMS –
Kejadian ini berlaku lebih dua puluh tahun yang lalu, namun setiap kali saya mengingatinya, bulu roma saya pasti meremang. Ketika itu saya masih kecil, baru darjah lima. Setiap hari selepas pulang dari sekolah, saya akan ke rumah saudara di kampung berdekatan untuk mengaji al-Quran.
Rumah itu sederhana, sebuah banglo kecil yang hanya memiliki 3 buah bilik tidur, tetapi cukup selesa dan sentiasa dipenuhi ketenangan. Barangkali kerana keberkatan ayat-ayat al-Quran yang berkumandang setiap petang.
Ustaz yang mengajar kami, Ustaz Ramli, seorang lelaki tua yang sangat penyabar.
Suaranya sentiasa lembut, wajahnya sentiasa tenang. Sebelum memulakan sesi mengaji, beliau akan membuka dengan doa panjang dan bacaan ayat pelindung.
Kadang-kadang dia berkongsi cerita tentang alam ghaib dan pentingnya perlindungan rohani. Saya suka mendengar ceritanya walaupun sedikit seram, tapi saya rasa selamat kerana dia ada bersama.

Pada suatu petang, selepas sesi mengaji selesai seperti biasa, ustaz pun pulang ke rumahnya. Tidak sampai sejam selepas dia beredar, suasana rumah yang biasanya tenang bertukar menjadi suram. Angin mula bertiup kencang walaupun semua pintu dan tingkap tertutup. Lampu ruang tamu berkelip-kelip tanpa sebab. Saya yang sedang mengulang hafalan surah terhenti apabila terdengar jeritan nyaring dari dapur.
Saya bergegas ke arah bunyi itu dan mendapati kawan kepada ibu saudara saya, Kak Salmah, sedang terduduk sambil menggigil. Mukanya berubah, matanya terbeliak, kulitnya kelihatan pucat kebiruan, dan dia mula mengeluarkan bunyi garau yang langsung tidak seperti suara asalnya. Dia menjerit, meracau, malah badannya menggeliat seperti seekor ular yang sedang kesakitan.
Kami semua tergamam. Ibu saudara saya cuba mendekatinya namun Kak Salmah menjerit sekuat hati sambil menolak sesiapa yang menghampirinya.
Kemudian, yang lebih mengejutkan, suaminya yang baru tiba dari luar, Encik Jalil, tiba-tiba rebah dan mula menunjukkan simptom yang sama. Dia meraung dan menghentak-hentakkan kepalanya ke dinding seperti orang yang sudah hilang akal. Saya menangis ketakutan, tidak tahu apa yang sedang berlaku.
Ibu saudara saya, Mak Ngah, segera menghubungi Ustaz Ramli. Mujurlah rumahnya tidak jauh, dan beliau tiba tidak lama kemudian bersama beg kecil berisi air yasin, limau purut, daun bidara, dan beberapa helai kain putih. Wajahnya serius, tiada lagi senyuman yang biasa kami lihat sewaktu mengaji.
Saya, ibu saudara dan sepupu-sepupu yang lain bergegas masuk ke bilik. Dari celah pintu, saya mengintai apa yang berlaku. Ustaz Ramli duduk bersila di hadapan Kak Salmah yang masih meracau. Dia mula membaca ayat-ayat ruqyah dengan suara yang kuat dan penuh keyakinan. Tangannya mengusap air yang dibaca lalu dipercikkan ke muka Kak Salmah dan Encik Jalil.
Pada mulanya mereka menjerit lebih kuat, malah Kak Salmah sempat cuba melompat ke arah ustaz namun rebah semula. Ustaz tetap tenang, terus membaca ayat-ayat suci sambil memegang ubun-ubun mereka. Peluh membasahi wajahnya, namun bacaan tidak terhenti walau sesaat.
Sekitar setengah jam kemudian, keadaan mulai reda. Kak Salmah berhenti menggeliat dan mula menangis teresak-esak. Encik Jalil juga kelihatan lemah seperti baru sedar dari mimpi buruk. Mak Ngah keluar dari bilik dan memeluk Kak Salmah yang tidak henti-henti meminta maaf, katanya dia langsung tidak sedar apa yang berlaku. Suaminya pula hanya termenung, seolah-olah masih keliru dengan apa yang baru terjadi.
Ustaz Ramli kemudian menjelaskan, ada sesuatu yang ‘menumpang’ masuk ke rumah melalui salah seorang tetamu yang tidak disedari membawa ‘pembuka jalan’ kepada makhluk halus. Mungkin disebabkan mereka ke tempat ‘keras’ sebelum datang ke rumah Mak Ngah.
Kata ustaz, rumah itu sudah lama aman kerana sering dipenuhi dengan bacaan al-Quran, namun makhluk yang tersesat itu mengambil peluang ketika tiada perlindungan rohani dilakukan selepas sesi mengaji tamat.
Malam itu saya langsung tidak dapat tidur. Setiap kali memejamkan mata, saya terbayang wajah Kak Salmah yang dirasuk mata putih, suara yang menakutkan, dan jeritan mengerikan yang seolah-olah bergema dalam kepala saya. Saya akhirnya terpaksa tidur di bilik Mak Ngah kerana terlalu takut untuk sendirian.
Esoknya, Ustaz Ramli datang semula untuk melakukan pembersihan rumah secara rohani.
Dia meminta kami semua membaca surah al-Baqarah selama tiga hari berturut-turut.
Rumah disapu dengan air yasin dan beberapa sudut rumah diasap dengan daun kemenyan yang dibacakan doa pelindung.
Sejak kejadian itu, kami menjadi lebih berhati-hati. Setiap kali masuk ke rumah, kami akan beri salam dan membaca doa pelindung. Ibu saudara saya juga lebih kerap mengadakan tahlil kecil dan membaca surah al-Baqarah setiap minggu. Rumah itu kembali tenang, tetapi kenangan ngeri malam kerasukan itu kekal dalam ingatan saya.
Kini saya sudah dewasa, dan setiap kali terkenangkan kejadian tersebut, saya pasti merasa insaf. Kita hidup bukan bersendirian. Dunia ini luas, dan ada makhluk lain yang kita tidak nampak. Namun dengan izin Allah, dan perlindungan dari ayat-ayat suci al-Quran, tiada apa yang lebih kuat daripada kuasa-Nya.
Kejadian di rumah saudara saya itu mengajar saya erti keberkatan ilmu agama, kepentingan zikir dan amalan harian, serta betapa pentingnya kehadiran seorang guru yang ikhlas seperti Ustaz Ramli. Tanpa beliau malam itu, saya tidak tahu apa yang akan terjadi kepada kami semua.
Dan hingga ke hari ini, setiap kali saya terdengar bunyi angin yang menderu atau melihat lampu berkelip tanpa sebab, saya pasti akan membaca ayat kursi dan memohon perlindungan-Nya. Kerana saya tahu, di sebalik dunia nyata ini, ada yang tidak nyata dan mereka sentiasa memerhati.

