Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Direktori dalam talian perkasa industri pelancongan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Pelancaran Direktori Produk Pelancongan Dalam Talian Brunei dijangka memberikan manfaat kepada perniagaan-perniagaan berkaitan pelancongan dalam memperbaiki tawaran mereka, memantapkan lagi usaha pemasaran serta membantu operator atau ejen pelancongan mereka pakej pelancongan yang lebih menarik bagi memikat lebih ramai pelancong berkunjung ke Negara Brunei Darussalam.

    Harapan itu disuarakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan, Dayang Salinah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Direktori Produk Pelancongan Dalam Talian Brunei yang berlangsung di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan pelancaran direktori dalam talian berkenaan, www.explorebrunei.gov.bn ialah Pemangku Setiausaha Tetap, KSSUP, Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar. Turut hadir ahli-ahli Lembaga Pelancongan Brunei, ejen-ejen pelancong berdaftar di Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai kerajaan.

    Dayang Salinah dalam ucapannya menyatakan pada masa ini, terdapat 48 ejen pelancongan berdaftar dan dilesenkan di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan hanya kira-kira 10 yang secara aktif mempromosikan pelancongan masuk ke dalam negara.

    KSSUP menggalakkan ejen-ejen pelancongan lain supaya terlibat secara aktif dalam mempromosikan pelancongan masuk untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Brunei dan memberikan sumbangan yang signifikan kepada KDNK negara.

    Hajah Dahliana ketika menghadiri majlis pelancaran berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Hajah Dahliana bergambar ramai dengan ahli-ahli Lembaga Pelancongan Brunei dan ejen-ejen pelancongan yang menghadiri majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Beliau juga menyatakan dengan pelancaran itu, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan keterlihatan perniagaan-perniagaan yang disenaraikan dan menjadikannya lebih mudah bagi pelanggan berhubung dengan mereka.

    Dengan memanfaatkan maklumat dalam direktori itu, jelasnya, perniagaan berkaitan pelancongan dapat meningkatkan lagi tawaran serta menarik lebih ramai pelancong untuk melawat Brunei.

    Direktori dalam talian berkenaan menawarkan satu lagi platform tambahan bagi perniagaan untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan yang akan membantu meningkatkan keterlibatan mereka dan menarik pelanggan-pelanggan baharu.

    Direktori itu mengandungi lebih 300 aktiviti, produk dan perkhidmatan berkaitan pelancongan yang dikategorikan dalam kategori Alam Sekitar, Kebudayaan dan Warisan, Pengembaraan, Makanan dan Minuman serta Penginapan.

    Maklumat seperti butiran hubungan dan aktiviti-aktiviti ditawarkan akan meningkatkan keterlihatan syarikat-syarikat yang disenaraikan dan menjadikannya lebih mudah bagi pelanggan-pelanggan untuk berhubung terus dengan mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda