Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Disangka cermin kotor rupanya karya seni

    TAIPEI, 14 NOV — Sebuah muzium di Taiwan terpaksa memohon maaf kepada seorang artis tempatan selepas seorang sukarelawan tersilap membersihkan karya seni yang menyangka sebagai cermin kotor sehingga merosakkan hasil seni berkenaan.

    Menurut Oddity Central, kejadian itu berlaku di Muzium Seni Keelung apabila kakitangan tidak sempat menghalang tindakan sukarelawan tersebut yang menggunakan beberapa helai tisu tandas untuk mengilap karya itu kerana menyangka cermin itu hanya dipenuhi habuk.

    Karya tersebut, bertajuk Inverted Syntax 16, berupa cermin yang sengaja dibiarkan dilitupi lapisan debu tebal selama lebih 40 tahun dan dipasang pada papan kayu ringkas dengan satu tompokan di bahagian tengah, menggambarkan kesedaran budaya dalam kalangan masyarakat kelas pertengahan.

    Namun bagi sukarelawan berkenaan, lapisan debu yang menjadi elemen penting karya seni tersebut hanyalah kotoran yang wajar dibersihkan demi memastikan bahan pameran sentiasa dalam keadaan ‘terpelihara’.

    Kerana gagal menyedari nilai artistik lapisan debu tersebut, tindakan membersihkannya telah menyebabkan kerosakan tidak boleh dipulihkan sebelum kakitangan muzium lain dapat campur tangan.

    Timbalan Pengarah Muzium, Cheng Ting-ching, berkata pihaknya segera mengadakan perbincangan kecemasan berhubung insiden itu dan kini sedang meneliti bentuk pampasan yang wajar diberikan kepada artis berkenaan.

    Dalam dunia seni yang semakin pelbagai bentuk dan ekspresinya, insiden seumpama ini bukanlah sesuatu yang luar biasa.

    Tahun lalu, seorang juruteknik muzium turut tersilap membuang sebuah karya seni yang hanya terdiri dari dua tin alkohol kemek ke dalam tong sampah kerana disangka tin tersebut ditinggalkan oleh pengunjung. – Agensi

    Gambar sebelum (kiri) dan selepas karya seni itu dibersihkan dengan tisu di Muzium Seni Keelung. – Jam Press

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda