Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Disangka kaca rupanya berlian

    WANITA ini memang bertuah, mana tidaknya siapa sangka dia menemukan serpihan berlian berwarna coklat ketika lawatannya ke taman berlian baru-baru ini.

    Berlian coklat seberat 2.65 karat itu dikatakan ditemui selepas 10 minit dia berjalan-jalan di taman itu.

    Dia walau bagaimanapun hanya menyedari bahawa serpihan itu adalah berlian selepas beberapa jam kemudian.

    Victoria Brodski, 25, dari Tulsa, pada awalnya hanya menyangka serpihan yang ditemui berhampiran pintu masuk Crater of Diamonds State Park itu hanyalah serpihan kaca biasa. Dia kemudian meneliti keadaan kaca tersebut dan mendapati bahawa kaca itu tidak dipotong seperti yang pernah dilihat sebelum itu. Jadi, dia mula mengesan seperti ada sesuatu yang aneh pada kaca tersebut.

    “Saya sedang melihat gambar-gambar berlian yang dipamerkan dan melihat persamaannya dengan apa yang saya dapati,” kata Brodski kepada THV11.

    Dengan rasa tidak percaya, dia menunjukkan berlian tersebut kepada kakitangan yang berada di taman berlian itu dan mereka kemudian mengesahkan bahawa serpihan yang disangka kaca itu adalah berlian.

    Victoria Brodski menemui berlian coklat seberat 2.65 karat selepas 10 minit dia berjalan-jalan di taman itu. – Agensi
    Dengan rasa yang tidak percaya, Brodski menunjukkan berlian tersebut kepada kakitangan yang berada di taman berlian tersebut dan mereka kemudian mengesahkan bahawa serpihan itu adalah berlian. – Agensi

    Berlian coklat adalah salah satu daripada tiga penemuan yang ditemui oleh pelawat di taman itu sejak 6 Mei lalu.

    Ia juga merupakan penemuan kedua terbesar yang ditemui setakat ini pada tahun 2017. Berlian paling besar telah ditemui pada bulan Mac lalu oleh seorang pelawat, Kalel Langford, 14 tahun. Dengan berat 7.44 karat, berlian tersebut muncul sebagai berlian terbesar yang ditemui pada tahun tersebut.

    Berlian 8.52 karat yang dijumpai di taman yang sama pada tahun 2015 telah dipotong dan dikatakan bernilai AS$500,000 pada bulan Februari lalu.

    Wanita ini mengakui bahawa penemuan yang telah dibuat oleh Kalel telah memberikannya idea untuk membuat perjalanannya sendiri bersama keluarganya ke taman itu.

    Dia telah menamakan permata itu dengan nama Michelangelo, seperti watak penyu Ninja Teenage Mutant.

    Brodski berkata dia telah merancang untuk menjual berlian itu dan mengagihkan keuntungan jualan tersebut dengan ahli keluarganya.

    “Berlian yang ditemui oleh Brodoski adalah salah satu berlian coklat yang sangat cantik yang pernah saya lihat di taman itu,” kata Waymon Cox, seorang penterjemah di taman berlian itu kepada Inside Fort Smith.

    Ia kira-kira bersaiz manik dengan warna coklat gelap seperti madu mentah. Ia mempunyai permukaan licin, bulat dan kelihatan bebas daripada kecacatan, di dalam dan luar.

    Menurut laman web Crater of Diamonds State Park, terdapat lebih daripada 75,000 berlian telah ditemui di taman itu sejak tahun 1906. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda