Monday, March 31, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Disangka ‘raksasa’ rupanya penceroboh

    WASHINGTON, 28 MAC – Seorang pengasuh di Kansas, Amerika Syarikat (AS), terkejut apabila menemui seorang lelaki bersembunyi di bawah katil selepas seorang kanak-kanak mengadu terdapat ‘raksasa’ di situ, menurut polis tempatan.

    Suspek berusia 27 tahun itu, yang sebelum ini tinggal di rumah berkenaan tetapi dilarang mendekati lokasi tersebut melalui perintah sekatan, melarikan diri sebelum ditahan keesokan harinya berhampiran bandar Great Bend.

    Menurut Pejabat Syerif Barton County pada Rabu, kejadian berlaku ketika pengasuh sedang menidurkan kanak-kanak berkenaan pada malam Isnin apabila seorang daripada mereka mengadu mengenai kehadiran ‘raksasa’ di bawah katil.

    “Ketika mangsa cuba menunjukkan kepada kanak-kanak tersebut bahawa tiada apa-apa di bawah katil, dia bersemuka dengan seorang lelaki yang sedang bersembunyi,” menurut kenyataan pihak berkuasa.

    Dalam pergelutan yang berlaku antara pengasuh dan suspek, seorang kanak-kanak turut terjatuh sebelum lelaki itu melarikan diri.

    Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas di kawasan berhampiran keesokan paginya.

    Pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai Martin Villalobos Junior, yang kini ditahan atas beberapa pertuduhan termasuk penculikan, pecah rumah, serangan dan membahayakan kanak-kanak.

    Dia ditahan di Penjara Barton County dengan jaminan ditetapkan pada AS$500,000. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda