Oleh Raz AS
Ikan Symphysodon, atau lebih dikenali di serata dunia sebagai discus, merupakan spesies ikan air tawar daripada keluarga cichlid yang berasal dari sungai Amazon di Amerika Selatan.
Di sebabkan bentuk, warna dan coraknya yang menarik, ikan ini sangat popular di kalangan penggemar hobi ikan hiasan atau akuarium.
Juga menerima julukan nama sebagai ikan ‘Raja Akuarium’, ikan discus telah menarik ramai pengikut dan tertubuhnya industri antarabangsa yang bernilai berjuta-juta dolar, yang termasuk pertunjukan, pertandingan, dan pembiakan.
Meskipun begitu, ikan discus dianggap sebagai salah satu spesies ikan yang susah untuk dipelihara, memerlukan pengawasan kualiti air yang sangat ketat dan perlu disimpan di dalam kawanan yang besar, oleh itu ia hanya disyorkan kepada peminat ikan hiasan yang berpengalaman.
Di dalam akuarium, ikan ini mempunyai purata jangka hayat sehingga 10 tahun, namun boleh juga hidup sehingga 15 tahun, dan membesar sehingga 8 inci. Melalui pembiakan yang selektif, ikan discus tersedia dalam pelbagai varieti warna.


Habitat ikan discus
Habitat semula jadi ikan discus adalah di tasik-tasik dan hutan tenggelam di kawasan rendah, lembangan sungai Amazon dan anak-anak sungainya termasuk Rio Negro. Kawasan-kawasan ini mengalami perubahan ekstrem pada tahap airnya disebabkan musim banjir. Ikan ini lebih gemar berhimpun di kawasan berdekatan pokok-pokok tumbang di mana airnya tenang, dan jarang sekali ditemui di kawasan yang berair deras atau berombak.
Keperluan air
Ikan discus memerlukan air bersuhu 27 hingga 30 darjah Celsius, tidak mengandungi banyak mineral (soft water) antara 1 dan 4 dKH, dan berasid dengan bacaan pH antara 6.0 dan 7.0. Walau bagaimanapun bagi sesetengah discus seperti Heckel liar yang ditangkap, bukan dibiak, lebih sesuai suhu airnya hampir 32 darjah Celcius.
Sama ada menggunakan air paip yang telah dinyah klorin, reverse osmosis atau dinyahion (deionized) ia akan memberikan kondisi terbaik kepada ikan ini. Sebaiknya semasa membeli ikan ini, pembeli haruslah bertanya akan keadaan air atau water chemistry tempat ikan ini dibiak atau dibesarkan. Ikan discus memerlukan kualiti air pada tahap yang tinggi, dan 10-25 peratus daripada air tersebut perlu diganti setiap minggu.
Keperluan akuarium
Ikan discus bukanlah spesies ikan yang kecil, oleh itu ia memerlukan akuarium yang mampu mengisi sekurang-kurangnya 340 liter air dan ke atas terutamanya bagi ikan yang bersaiz dewasa. Oleh sebab bentuk badannya yang bulat leper, akuarium tinggi lebih sesuai digunakan.
Pergerakan air pula haruslah lembut dan sekiranya inginkan perhiasan, tumbuhan berdaun lebar dan kayu yang disusun menegak bolehlah digunakan untuk meniru pokok dan dahan yang tenggelam. Tumbuhan terapung juga boleh ditambah untuk memberikan kawasan berteduh. Pasir atau batu gred halus hingga sederhana yang mempunyai permukaan licin juga lebih sesuai digunakan sebagai substrate.
Perwatakan dan kesesuaian
Ikan discus mempunyai perwatakan yang tenang dan damai, tetapi seperti ikan cichlid lainnya, ia boleh bertindak agresif sesama sendiri, terutama ketika musim mengawan. Ikan yang pemalu atau mudah mengalah haruslah diasingkan dengan segera kerana ia tidak akan mampu bersaing.
Kebanyakan penggemar ikan hiasan yang betul-betul serius tidak akan mencampurkan discus mereka dengan terlalu banyak spesies lain. Walau bagaimanapun, ikan ini sesuai disimpan bersama spesies lain seperti cardinal tetra, neon, emperor dan rummy nose tetra, termasuk clown loach dan dwarf cichlid, seperti ram dan apistogramma. Ikan-ikan ini boleh hidup pada kondisi air yang sama dengan discus.
Makanan discus
Di habitat asalnya, discus memakan tumbuhan dan detritus, serta mencari makanan di kawasan dasar, seperti cacing dan krustasea kecil. Ikan ini bersifat omnivorus dan akan memakan apa sahaja seperti palet, fleks,granule, algae, termasuk makanan hidup atau yang telah dibekukan.
Sesetengah orang juga memberi makan discus mereka dengan hati kerbau, meskipun ia tidak akan memudaratkan ikan tersebut namun ia bukanlah makanan alami mereka. Bagi hasil terbaik, diet harian mereka haruslah diputar dan diberi makan jumlah yang mampu dihabiskan dalam 2-3 minit, satu atau dua kali sehari.

