Pelakon Hollywood, Arnold Schwarzenegger mendedahkan pengalaman ngeri apabila dia hampir maut ketika menjalani pembedahan jantung lima tahun lalu.
Memetik dari mStar, Arnold, 76, berkata, nyawanya hampir melayang di meja bedah gara-gara kesilapan dilakukan pakar pembedahan sehingga berlaku pendarahan.
“Saya masih ingat ketika saya menjalani pembedahan jantung terbuka, yang ketiga beberapa tahun lalu sebelum kami memulakan penggambaran filem Terminator 6.
“Saya benar-benar ketakutan… Saya tersedar dan tiba-tiba doktor berada di hadapan saya memberitahu pembedahan yang berlangsung tidak seperti dirancang,” katanya.
Cerita Arnold, pembedahan jantung itu bertukar rumit apabila pasukan perubatan membuat kesilapan sehingga tercucuk dinding jantungnya.
Kata Arnold, pengalaman itu cukup menakutkan namun bersyukur dia masih diberi peluang untuk bernafas dan lebih menghargai kehidupannya.
Sementara itu, Arnold berkata, dia berkongsi pengalaman ngeri itu untuk memberi inspirasi kepada orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan bersenam. – Agensi