THAILAND, 17 FEB – “Saya direnjat dengan elektrik lebih daripada 10 kali dan diseksa hampir setiap minggu sepanjang tempoh saya dikurung di pejabat mereka,” kata seorang rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.
Lelaki berusia 45 tahun berasal dari Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Teo berkata, dia diperdaya dengan tawaran pekerjaan sebagai penterjemah di Thailand dengan gaji RM7,000 pada Ogos 2023.
Menceritakan detik-detik hitam sepanjang lebih 16 bulan kepada Bernama, Teo berkata dia tertarik dengan iklan di Facebook yang menawarkan jawatan penterjemah di Bangkok untuk sebuah syarikat dagangan, dengan jangkaan hanya perlu berada di Thailand selama seminggu.
“Saya menghubungi seorang individu bernama Alex daripada iklan itu, dan dia memberitahu bahawa seseorang akan menjemput saya di lapangan terbang sebaik tiba di Bangkok.
“Namun, saya mula curiga apabila perjalanan dari lapangan terbang Bangkok mengambil masa enam jam, menukar kenderaan sebanyak tiga kali, sebelum tiba di Mae Sot berhampiran sungai.
“Kemudian, saya dipaksa menyeberang ke Myanmar dan dilatih menjadi scammer,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kem Tentera Fort Vachiraprakan, Wilayah Tak, utara Thailand kelmarin.
Teo berkata, dia dipaksa bekerja selama 14 jam sehari dengan tugasan harian menyusun sekitar 10,000 nombor telefon untuk sindiket berkenaan.
Katanya, satu-satunya bayaran yang diterima hanyalah elaun sara hidup sebanyak 5,000 baht untuk tiga bulan pertama, dan sesiapa yang cuba melarikan diri akan dihukum.
“Mereka yang gagal menyelesaikan tugasan akan dihukum oleh penyelia, termasuk dikenakan renjatan elektrik, dipukul atau dikurung dalam bilik gelap tanpa seurat benang,” katanya. – Bernama
