ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
TAHUN 1965, di sebuah kejiranan kelas pekerja di Queens, New York, Ruth Malon seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai seorang pelayan di kelab malam terjaga dan menyedari bahawa dua orang anak kecilnya, Frankie Jr. dan Cindy telah menghilang. Hari itu, mayat Cindy telah dijumpai di sebuah lot kira-kira setengah batu dari rumahnya. Cindy dipercayai telah mati akibat dicekik.
Sepuluh hari kemudian mayat Frankie Jr. ditemui dalam keadaan mereput. Dengan serta-merta semua orang menuding jari kepada Ruth. Dengan penyiasatan pihak polis mengenai kes pembunuhan tersebut, kehidupan Ruth yang terumbang-ambing telah terdedah.
Di mata pihak polis, botol-botol minuman keras, pakaian-pakaian yang menjolok mata dan longgokan surat-surat daripada ramai lelaki bersama sebuah buku kecil yang mereka dapati menguatkan syak wasangka mereka bahawa Ruth adalah seorang kaki botol, tidak terurus dan seorang ibu yang teruk.
Detektif yang mengetuai penyiasatan tersebut, adalah seorang yang berfikiran kolot yang berpendapat bahawa perempuan seharusnya hanya tinggal di rumah sahaja, membuat kesimpulan bahawa Ruth telah membunuh anak-anaknya sendiri kerana tekanan daripada keruntuhan rumah tangga dan perbalahan dalam hak menjaga anak-anak bersama bekas suaminya.
Pete Wonicke adalah seorang wartawan tabloid amatur yang beria-ria hendak membuat liputan mengenai kes pembunuhan tersebut. Pete berazam agarnya namanya akan terpampang di dada akhbar sebagai penulis, oleh itu dia telah melakukan penyiasatannya sendiri.
Minat Pete mengenai cerita tersebut telah menjadikannya obses terhadap Ruth, dan dia mula mempercayai bahawa terdapat sesuatu yang terlindung di sebalik wanita itu, lebih daripada apa yang pendakwa raya, pihak media dan orang ramai percayai bahawa wanita itu adalah pembunuh kejam.
Adakah Ruth yang bertanggungjawab membunuh anak-anaknya sendiri dengan kejam, ataupun dia hanyalah mangsa keadaan, atau mungkin terdapat sesuatu di sebalik segala yang terjadi?
Diinspirasikan daripada sebuah kisah benar, novel Little Deaths karya Emma Flint adalah setentunya sebuah novel fiksyen jenayah yang seharusnya tidak harus ketinggalan untuk dimiliki oleh pembaca.