Saturday, November 9, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Disergah bayangan hitam di pondok usang

    Oleh FJ – 

    Setelah merancang selama seminggu, akhirnya malam itu aku dan rakan-rakan sekampung tiba di pondok usang yang terletak di pinggir Kampung Sungai Matan. Pondok itu sudah lama ditinggalkan, sunyi dan sedikit berlumut, terletak betul-betul di kawasan hujung hutan. Walaupun penduduk kampung sering menyebutnya berhantu, kami dengan semangat berani dan sedikit rasa ingin tahu tekad untuk bermalam di situ.

    Aku, Mubin, Farid, dan Dayat duduk berempat, memandang antara satu sama lain sambil ketawa kecil untuk menyembunyikan ketakutan dalam hati. Angin malam mula bertiup kencang, membuatkan ranting-ranting pokok bergesel.

    Rasa sunyi malam itu bukan sekadar biasa; ia ada aura yang seram, sesuatu yang aku tak pernah rasa sebelumnya.

    “Eh, nyaman juga ada angin,” kata Dayat, cuba mengendurkan suasana yang sedikit tegang. Kami semua ketawa hambar, cuba melupakan kisah-kisah seram yang biasa dikaitkan dengan pondok ini.

    “Eh, jangan tah kau cakap lebih-lebih. Bukan apa, tempat ni memang bising di cerita orang,” balas Mubin, suaranya sedikit bergetar.

    Gambar Canva

    Jam sudah hampir menunjukkan pukul 11 malam. Unggun api kecil yang kami buat mula hampir padam. Dalam suasana samar-samar itu, tiba-tiba kami terdengar suara bisikan halus dari dalam hutan, seolah-olah ada yang memanggil. Kami semua terdiam, berpandangan sesama sendiri, mata terbeliak dengan wajah pucat.

    “Apa tu?” tanya aku dengan suara berbisik, takut untuk mengganggu suara yang tak kelihatan itu.

    “Kamu dengar kah tadi?” bisik Mubin perlahan, seolah-olah tidak mahu sesiapa mendengarnya selain kami. Kami semua angguk.

    Dalam kegelapan, aku memberanikan diri untuk menyuluh sekitar dengan lampu senter. Cahaya menyentuh batang-batang pokok yang berjejer di hadapan, namun tak ada apa-apa yang kelihatan. Tiba-tiba, Farid menghela nafas panjang dan berbisik, “Aku rasa, baik kita keluar saja dari sini.”

    Namun, sebelum sempat kami buat keputusan, pintu pondok tiba-tiba tertutup sendiri dengan bunyi kuat BAM! Semua terdiam, jantung berdegup kencang. Mata kami terarah ke pintu, seolah-olah menunggu sesuatu muncul.

    Dalam kesunyian, tiba-tiba terdengar bunyi ketawa halus dari sudut pondok. Kami semua mencari-cari sumber suara, dan aku terperasan bayangan hitam berdiri di sebelah jendela pondok, hanya beberapa meter dari kami.

    Bayangan itu tinggi, badannya kurus kering, wajahnya samar seperti diselubungi kabut hitam.

    Dayat, yang terkenal paling berani antara kami, cuba bertanya dengan suara terketar, “Siapa di sana?”

    Bayangan itu hanya diam, tapi ketawa kecilnya makin kuat, seolah-olah mengejek kami yang terperangkap. Tiba-tiba, lampu senter kami padam sendiri, satu per satu. Jantung aku bagaikan mahu terhenti. Dalam kegelapan itu, aku dapat merasakan sesuatu bergerak perlahan menghampiri, membuatkan bulu roma tegak berdiri.

    Aku mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran dalam hati, cuba menenangkan diri yang semakin gelisah. Ketika aku memejamkan mata, tiba-tiba terdengar suara wanita merintih dari luar, diiringi bunyi ranting patah dan daun-daun kering dipijak. Suara itu semakin mendekat dan aku hampir tak dapat menahan rasa takut lagi.

    Farid yang sudah tak tahan, menjerit, “Siapa di sana? Kami mohon jangan ganggu kami!”
    Sejurus itu, lampu-lampu senter kembali menyala dengan sendirinya. Kami melihat sekeliling, tapi bayangan hitam itu telah hilang, begitu juga suara ketawa dan rintihan tadi.

    Walaupun begitu, suasana masih tegang, dan hati kami masih berdebar-debar.

    “Bah, baik kita tinggalkan saja tempat ni. Aku rasa, lain macam jua,” kata Mubin, sambil mengemas barang-barangnya dengan tergesa-gesa.

    Kami semua berlari keluar dari pondok, menuruni tangga kayu usang itu dengan perasaan lega tapi juga ketakutan.

    Namun, ketika kami berjalan menjauhi pondok, aku sempat berpaling sekali lagi. Di tingkap pondok, bayangan itu berdiri tegak, memandang kami dengan mata merah menyala.

    “Aku tahu kau akan datang lagi,” suara itu berbisik, seolah-olah berkata terus ke dalam hati aku.

    Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, kami semua diam, tak berani menoleh lagi ke arah pondok. Setibanya di kampung, kami langsung menuju ke rumah Mubin dan duduk berkumpul, masih dalam keadaan ketakutan.

    Kami menceritakan pengalaman seram itu kepada orang tua di kampung, yang hanya menggeleng kepala dan berkata, “Itulah, tempat yang sudah lama usang, jangan suka sangat dicabar.”

    Malam itu menjadi pengajaran besar buat kami semua.

    Keesokan harinya, kami semua pulang ke rumah masing-masing dengan perasaan yang tak mudah dilupakan. Pondok tua di pinggir hutan itu kekal dalam ingatan kami sebagai tempat yang penuh misteri dan entiti yang hanya akan diketahui mereka yang pernah melalui malam yang mengerikan itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda