Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) adalah tonggak pertahanan negara dan selaku tonggak, ia mesti berkeadaan sentiasa teguh dan kuat.
“Kekuatan ABDB mustahak dikenal pasti sejauh mana ia dapat dianggap mencukupi atau masih memerlukan peningkatan,” titah Baginda, hari ini, sempena keberangkatan Lawatan Kerja ke ABDB yang berlangsung di Gim Dewan Serba Guna, ABDB, Bolkiah Garison.
Baginda bertitah bahawa dalam ABDB juga ada berbangkit pelanggaran sekuriti dan ia menjadi kritikal apabila mendapati kes pelanggaran itu terus saja meningkat seperti jumlah pelanggaran pada 2014 sebanyak 33 kes tetapi pada 2018, telah meningkat pada 82 kes.
“Sesungguhnya peningkatan ini amatlah membimbangkan lebih-lebih lagi pelanggaran itu termasuk penyeludupan barang-barang tegahan seperti minuman keras, rokok dan peralatan judi. Beta tegaskan di sini, semua ini tidak boleh berlaku kompromi terhadapnya.”
Baginda turut menyentuh berkenaan dengan isu disiplin ABDB di mana isu itu cukup merisaukan apabila di sepanjang 2016 sehingga Ogos 2019 sahaja, telah berlaku pelanggaran disiplin dengan kesalahan tentera berjumlah sebanyak 338 kes diikuti dengan kesalahan dadah sebanyak 182 kes, kelakuan tidak senonoh sebanyak 138 kes, kesalahan melibatkan kewangan sebanyak 107 kes, kesalahan awam sebanyak 100 kes dan kesalahan syariah sebanyak 38 kes.

“Mengapakah kesalahan-kesalahan ini berlaku? Sangat perlu dicari sebab-sebabnya. Sebab-sebab itu pasti ada, misalnya mungkin saja kerana peringatan secara intensif kurang diberikan oleh pihak kepimpinan atau tidak dilakukan secara berterusan sehingga para anggota memandang ringan soal disiplin, atau kerana lemah atau sedikit penerangan diberi makanya menjadikan para anggota kurang pengetahuan tentang Akta ABDB dan Undang-undang Negara.”
Baginda bertitah lagi bahawa kewajipan ABDB mesti mencari sebab-sebabnya dan mengambil berat perkara disiplin bererti menjaga sebahagian daripada kebajikan anggota ABDB.
“Mereka tidak diragukan lagi adalah aset utama ABDB,” titah Baginda, “Oleh itu, tahap moral setiap anggota perlu dijaga, jangan ia merosot. Jika tahap moral itu rendah, maka padahnya boleh menjejaskan sumbangan anggota terhadap organisasi pertahanan.”
Baginda bertitah di samping mencapai tahap moral yang tinggi, para anggota juga perlu mempunyai projek-projek kebajikan mereka.
Melalui projek-projek itu, titah Baginda, akan banyaklah manfaat yang boleh diraih oleh para anggota sendiri dan mungkin juga oleh negara dan masyarakat.
“Tetapi, nampaknya perkara ini sudah tidak lagi dilaksanakan, mengapa? Padahal, mengadakan projek-projek itu adalah satu aktiviti. Sifat aktiviti bukannya merugikan tetapi menguntungkan.
“Jika tidak ada projek, bermakna tidak ada aktiviti. Sedang pada kebiasaan, organisasi yang tidak mempunyai aktiviti adalah organisasi yang lemah.
“Beta tidak mahu ini berlaku. Organisasi pertahanan sama sekali tidak wajar untuk menunjukkan ciri-ciri kelemahan walaupun dalam lingkungan sesama mereka sendiri.
“Jadi sebagai penutup, Beta berharap kepada semua pemegang jawatan kepimpinan supaya mengambil perhatian berat terhadap apa-apa jua yang Beta timbulkan dalam perjumpaan pada hari ini.”
Baginda bertitah, “Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua juga selaku sauh ABDB adalah tidak terkecuali untuk sama-sama dengan para kepimpinan yang lain bagi mengambil punggur ke hadapan menangani apa-apa jua masalah yang perlu ditangani.”
Terdahulu dalam titah Baginda, Baginda menyatakan bahawa berdasarkan maklumat mutakhir, kekuatan ABDB terdiri daripada seramai 757 orang pegawai dan 8,925 anggota lain-lain peringkat yang membawa jumlah keseluruhan seramai 9,682 orang.
“Daripada jumlah keseluruhan ini, pecahan peratus adalah seperti berikut; Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 67 peratus, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), 64 peratus dan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), 57 peratus.”
Baginda bertitah bahawa ternyata ABDB masih lagi kekurangan pegawai dan kekurangan itu boleh menjejaskan keberkesanan pengurusan di semua unit.
“Berbangkit daripada kekurangan ini, terdapat sebilangan pegawai dalam satu masa memegang lebih daripada satu jawatan. Ini juga boleh menghilangkan fokus bagi pegawai berkenaan terhadap jawatan utamanya.
“Lain lagi sebilangan anggota yang terpaksa melakukan kerja-kerja tambahan sehingga mengakibatkan peranan utama anggota tersebut dalam menjaga keselamatan dan sekuriti pertahanan jadi terabai.
“Kepincangan ini tidak boleh dibiarkan. Pucuk pimpinan perlu peka untuk mengatasi, kita tidak boleh berdiam diri sahaja dengan membiarkan kepincangan ini terus berpanjangan.
“Turut berkaitan dengan faktor kekuatan ialah tahap keupayaan aset-aset utama ABDB. Beta difahamkan tahap keupayaan bagi TDDB, TLDB dan TUDB masih saja belum mencapai tahap optimum 75 peratus.
“Sudahlah itu, terdapat pula kejadian-kejadian merunsingkan seperti kebakaran bot-bot ABDB, masalah CN235 TUDB yang memberi kesan pada situasi keseluruhan aset-aset utama.
“Ada laporan mengenai tahap boleh guna aset masih belum saja memuaskan disebabkan beberapa faktor antaranya ketiadaan alat ganti, proses pemeliharaan aset sering terbantut, kekurangan jurutera pakar, kurang kajian, penelitian dan pengawasan di peringkat rancangan serta perolehan dan penerimaan aset.
“Beta melihat semua faktor ini memerlukan keprihatinan semua pihak terutama pihak kepimpinan. Janganlah hanya untuk dibaca di atas kertas, tetapi cubalah kaji dan teliti baik-baik. Adakah benar atau berasaskan faktor-faktor atau sebab-sebab itu? Jika benar berasas, maka carilah jalan mengatasinya.”
Baginda Sultan bertitah bahawa ABDB masih dibelenggu oleh masalah khidmat logistik.
“Simptom kelemahan di sini dapat dilihat di mana-mana unit angkatan seperti kekurangan-kekurangan alat tulis dan barangan pejabat serta lain-lain termasuk juga sering berbangkit, ialah mengenai kadar boleh guna peralatan dan penyediaan rumah kelamin bagi anggota tentera masih belum mencukupi. Ini semua memerlukan perhatian juga.”