Friday, May 9, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Disney akan buka taman tema di Abu Dhabi

    LOS ANGELES, 8 MEI – The Walt Disney Company mengumumkan rancangan pembukaan taman tema baharu di Emiriah Arab Bersatu (UAE), menandakan pengaruh negara yang semakin meningkat sebagai hab kewangan dan hiburan global.

    Resort bertema itu akan terletak di Pulau Yas, Abu Dhabi dan dibangunkan dengan kerjasama syarikat tempatan, Miral. Disney menyatakan mereka menyasarkan pengunjung dari Timur Tengah, Afrika, India, Asia, Eropah dan sekitarnya.

    Pengumuman tersebut dibuat menjelang lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu minggu depan.

    “Disneyland Abu Dhabi akan menjadi pengalaman Disney yang semula jadi dengan sentuhan Amiriah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Robert Iger, sambil menjanjikan hiburan Disney yang luar biasa di persimpangan dunia itu.

    Resort baharu itu akan menggabungkan kisah ikonik, watak dan tarikan Disney dengan budaya Abu Dhabi yang kaya, pantai yang menakjubkan dan seni bina yang memukau.

    Papan tanda untuk kedai cenderamata ‘Disney and Co’, di Disneyland Paris, di Marne-la-Vallee, timur Paris. – AFP

    Disneyland Abu Dhabi akan menjadi resort Disney ketujuh selepas Disneyland yang pertama dibuka di Anaheim, California pada 1955. Taman tema Disney lain terletak di Florida, Tokyo, Paris, Hong Kong dan Shanghai.

    Iger berkata lokasi berkenaan dipilih untuk membawa pengalaman Disney kepada ratusan juta pelanggan yang menganggap perjalanan ke lokasi lain sebagai mahal dan memakan masa.

    Beliau juga menekankan kejayaan tarikan sedia ada di Abu Dhabi, termasuk muzium Louvre dan Guggenheim yang sedang dibina.

    Kumpulan Miral mengendalikan pelbagai hotel, resort dan taman hiburan di Abu Dhabi, termasuk Warner Brothers World, Ferrari World dan Sea World.

    Pengumuman itu keluar serentak dengan laporan Disney mengenai pendapatan suku tahunan yang kukuh, mendorong harga sahamnya melonjak.

    Jualan keseluruhan meningkat tujuh peratus kepada AS$$23.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac, manakala jumlah pelanggan Disney+ meningkat kepada 126 juta. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda