Wednesday, May 7, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dissanayake hadapi ujian undi pertama

    COLOMBO, 6 MEI – Kerajaan berhaluan kiri Sri Lanka menghadapi ujian pilihan raya pertama sejak memenangi pilihan raya parlimen dan presiden tahun lalu, apabila rakyat kembali mengundi dalam pilihan raya pihak berkuasa tempatan hari ini, tatkala negara itu mula pulih daripada kemelut ekonomi.

    Presiden Anura Kumara Dissanayake menggesa pengundi untuk mengembalikan semula kesemua 339 majlis tempatan kepada gabungan pemerintahnya, Parti Rakyat Nasional (NPP), yang kini menguasai majoriti dua pertiga di parlimen.

    Dissanayake, yang mengejutkan parti-parti politik utama apabila memenangi pilihan raya presiden pada September lalu, terus meraih sokongan padu dalam pilihan raya parlimen dua bulan kemudian.

    Sejak memegang kuasa, Dissanayake, 56, membuat perubahan daripada janjinya untuk merundingkan semula syarat pinjaman IMF yang tidak popular yang dimeterai oleh pendahulunya dan terus mengekalkan kadar tarif yang tinggi.

    “Kita mesti faham realiti sebenar yang sedang kita hadapi sebuah ekonomi yang telah runtuh ke tahap paling bawah,” katanya semasa perhimpunan Hari Pekerja di Colombo.

    Dia menyatakan bahawa adalah pen-ting untuk partinya menguasai sepenuhnya majlis-majlis tempatan agar semua peringkat pentadbiran bebas daripada rasuah dan pembaziran berleluasa.

    Dia turut menggesa kesatuan sekerja agar tidak membangkitkan ‘isu-isu kecil’ dan memberi lebih masa kepada kerajaannya untuk menunaikan janji-janji kebajikan.

    Seramai 17.1 juta pengundi jumlah yang sama seperti dalam dua pilihan raya nasional sebelum ini layak mengundi hari ini bagi memilih 8,287 ahli majlis daripada 75,589 calon.

    Kempen pilihan raya kali ini dilihat suram, tanpa penyertaan tokoh-tokoh terkenal.

    Keputusan dijangka diumumkan menjelang tengah hari esok. – AFP

    Seorang wanita menunjukkan jarinya yang berdakwat selepas membuang undi di sebuah pusat mengundi sempena hari pengundian pilihan raya kerajaan tempatan Sri Lanka yang berlangsung di Colombo, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda