LOXAHATCHEE, FLORIDA, 25 MEI – Kira-kira 24 anak burung kakak tua berwarna hijau terang mula berkicau setiap kali sesiapa menghampiri sangkar besar yang menjadi kediaman burung itu sejak menetas pada Mac.
Burung asli Amerika Tengah, yang dirampas daripada penyeludup di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, sedang dipelihara oleh Yayasan Konservatori Spesies Unik usaha sepan-jang masa yang termasuk memberi makan lima kali sehari di dalam bilik yang dipenuhi dengan sangkar besar.
Baru berusia 9 minggu, burung kakak tua ini telah pun terselamat dalam perjalanan yang dahsyat selepas disambar dari sarangnya di dalam hutan.
Burung tersebut hampir berbulu sepenuhnya sekarang dan kakitangan telah mula menukar daripada formula khas kepada diet pelet makanan dan buah-buahan.
Kicauan lemah anak-anak burung dalam beg yang dibawa di lapangan terbang Miami telah menarik perhatian pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan AS.
Penumpang, Szu Ta Wu, yang tiba dari Managua, Nicaragua pada 23 Mac, dan sedang menukar penerbangan di Miami untuk pulang ke Taiwan, telah ditahan di pusat pemeriksaan. Dia ditanya tentang bunyi yang datang dari begnya.
Wu seterusnya mengeluarkan beg yang lebih kecil dan menunjukkan kepada pegawai itu sebiji telur, menurut aduan. Pegawai itu kemudian melihat lebih banyak telur dan seekor burung kecil tanpa bulu yang baru menetas dalam beg itu.
Dia memberitahu pegawai itu terdapat 29 biji telur, dan dia tidak mempunyai dokumen untuk membawa burung itu, menurut aduan. – AP