Monday, July 8, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Ditolak hantu berambut serai

    Oleh Aima Aidi –

    Sewaktu aku masih lagi menuntut di tingkatan bawah, aku dan kawan-kawan gemar melakukan aktiviti luar seperti berkelah atau bersiar-siar.

    Biasanya kami berkelah setelah penat mentelaah pelajaran dan sesudah habis menjalani peperiksaan. Tempat yang sering kami kunjungi ialah Hutan Simpanan Taman Rekreasi Bukit Shahbandar.

    Pada suatu hari, aku, abangku dan teman satu kelas dengan kami telah bersepakat untuk bersiar-siar di Bukit Shahbandar sambil merehatkan otak yang berserabut dengan nota-nota pelajaran dan juga bagi merayakan kemenangan kami setelah berjaya menjalani peperiksaan BJCE dengan baik. Hari Ahad adalah hari kami menghabiskan masa dengan berehat.

    Memang sudah menjadi syarat dalam keluargaku, sekiranya aku hendak keluar rumah seperti pergi bersiar-siar bersama dengan kawan-kawan, salah seorang dari abangku hendaklah ikut sama.

    Memandangkan aku agak rapat dengan abangku yang kedua sejak dahulu lagi jadi walau ke mana-mana pun aku pergi dia pasti bersedia menemaniku.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Apatah lagi kami duduk dalam kelas yang sama dan ini menjadikan kawan-kawanku juga merupakan kawan-kawannya dan begitu sebaliknya.

    Hari yang dinantikan pun tiba. Aku dan abangku datang agak lewat ke tempat tersebut. Sementara kawan-kawanku yang lain sudahpun sedia menunggu dengan bekalan masing-masing.

    Kami semuanya seramai tujuh orang, empat lelaki dan tiga perempuan. Semua antara kami mempunyai ikatan saudara antara satu sama lain, ada yang adik beradik dan ada pula yang saudara sepupu. Kerana ada ikatan saudara inilah membuatkan kami menjadi rapat.

    Pada mulanya, kami hanya berjalan-jalan di sekitar bawah bukit itu sahaja dan menjelang tengah hari barulah kami naik ke puncak untuk menikmati makanan tengah hari sambil menghirup udara segar.

    Setelah penat mendaki bukit, kami pun berehat seketika sambil menikmati makan tengah hari.

    Suasananya yang redup dan berangin itu membuatkan ada antara kami yang terlelap kerana kekenyangan.

    Aku dan tiga kawan karibku pula tidak melepas peluang untuk bergambar dengan bersaksikan hutan yang menghijau.

    Setelah penat kami hilang, kami bercadang untuk pergi ke tasik yang ada di sebelah kiri bukit.

    Tapi disebabkan jalannya yang curam dan licin hanya abangku dan dua kawan lelaki kami saja yang turun.

    Manakala aku dan dua rakan karibku berserta dengan salah seorang sepupu mereka yang akan menjadi bodyguard kami bercadang untuk turun sahaja ke kaki bukit untuk berjalan-jalan menikmati kehijauan hutan tersebut.

    Setelah berjanji untuk berjumpa semula di tempat kami mula-mula berkumpul, kami pun mulalah mengatur langkah. Memang sudah tabiat kami jika berjumpa pasti tidak lupa usik mengusik dan bergurau senda.

    Kata orang jangan terlalu suka bergurau ketika berada di dalam hutan kerana ditakuti ‘masap’. Gelak ketawa kami seakan memenuhi hutan sekitar sana.

    Aku berjalan di tengah-tengah manakala yang lain berada di belakang dan di hadapanku.

    Baru saja beberapa langkah aku menuruni bukit dengan menggunakan anak tangga yang diperbuat daripada kayu yang sengaja dibuat untuk memudahkan para pengunjung di puncak bukit tersebut, tiba-tiba aku ternampak satu lembaga sedang berdiri tidak jauh di hadapanku.

    Lembaga tersebut berwajah buruk dan menggerunkan serta berambut kembang dan keras seperti daun-daun serai.

    Kawan-kawanku yang lain seperti tidak nampak lembaga yang berada di hadapan kami itu.

    Mereka tetap sahaja rancak bergurau dan bercerita. Sementara kawan karibku yang seorang tetap saja melangkah dengan pantas melintasi lembaga tersebut.

    Mungkin juga disebabkan dia tidak nampak lembaga tersebut kerana dia juga seorang yang penakut dan jika dia tahu ada lembaga yang dilewatinya tentu saja dia akan berteriak ketakutan.

    Memang sudah menjadi kebiasaanku suka menegur sesuatu yang ku rasakan pelik dan belum pernah aku saksikan lebih-lebih lagi ketika di dalam hutan. Kerana tabiatku itulah ayah berpesan semasa di dalam perjalanan menuju ke bukit tersebut supaya aku ataupun abangku tidak menegur apa pun juga jika ternampak sesuatu yang ganjil kerana tempat tersebut masih lagi belum dicabuli.

    Aku terlupa pesanan ayah itu ataupun mungkin juga sudah takdirnya aku akan menghadapi musibah di bukit tersebut. Kerana tidak tahan melihat lembaga yang menakutkan itu dan juga ku lihat kawan-kawanku seperti tidak berasa takut sama sekali lalu aku pun menegurnya.

    “Eh! Apakan tu yang berdiri di depan kitani yang rambutnya macam serai ah. Inda kamu terlihatkan?” kataku kepada kawan-kawanku sambil tanganku menunjuk di mana lembaga tersebut berdiri.

    Mereka kehairanan dan mata mereka seperti teranah melihat ke tempat yang ku tunjuk itu.

    Mereka menggelengkan kepala tanda tidak nampak seperti yang aku lihat. Dalam hatiku berkata-kata, apakah yang aku lihat itu adalah hantu? Dan apakah cuma aku saja yang dapat melihatnya.

    Aku menjadi ketakutan lalu aku pun melangkah mendekati kawan-kawanku. Baru saja aku mula membuka langkah yang pertama, dengan tidak semena-mena aku melihat lembaga tersebut sudah berdiri di belakang ku sambil menghulurkan tangannya seperti hendak menolak aku ke bawah.

    Mulut ku seakan terkunci untuk berteriak memberitahu kawan-kawanku. Lalu ku angkat kaki untuk berlari meninggalkan tempat tersebut, tiba-tiba aku terjatuh seperti ditolak dari belakang hingga menyebabkan kakiku terseliuh dan sukar untuk berjalan.

    Aku tergolek beberapa kali hingga menyebabkan anak tangga di bukit itu tercabut dari tanah.

    Lembaga tersebut terus ghaib dari pandanganku. Aku menangis kesakitan. Kawan-kawan segera berlari mendapatkanku sambil bertanya bagaimana boleh terjadi demikian.

    Aku pun menerangkan apa yang aku saksikan sejak tadi sambil menunjuk tempat lembaga tersebut berdiri dan menolakku sebentar tadi.

    Ku tanyakan kepada mereka sama ada mereka nampak seperti yang ku lihat itu tetapi ketiga-tiga mereka menafikannya.

    Pada mulanya, ku sangkakan mereka bergurau tetapi setelah ku lihat mereka juga seperti orang ketakutan sebaik sahaja mendengar ceritaku itu, barulah aku percaya bahawa mereka tidak melihat lembaga tersebut.

    Akhirnya aku terpaksa dipapah turun oleh mereka hinggalah ke kaki bukit. Sewaktu turun dari puncak bukit itu, kami melihat satu kawasan yang ada terpacak beberapa batu nisan mungkin juga makam orang dahulu kala.

    Keempat-empat kami berpandangan sesama sendiri tetapi tidak sepatah perkataan pun yang terkeluar dari mulut kami.

    Kakiku semakin terasa sakit untuk berpijak ke tanah. Nasib baiklah kami selamat sampai ke kaki bukit.

    Setelah agak lama berehat di salah satu pondok di sekitar sana barulah abangku dan kawan-kawan kami yang lain tiba.

    Melihat muka kami yang pucat lesu itu, mereka menjadi hairan lalu bertanya, “Kenapa?” Aku tidak dapat menerangkannya kerana kesakitan kaki yang ku alami.

    Salah seorang dari kawan karibku pun menceritakan apa yang telah terjadi. Setelah mendengar semua kejadian itu, kami pun bersepakat untuk pulang sahaja.

    Mujurlah salah seorang dari kawan kami itu membawa kereta jadi dapatlah aku dan abangku pulang awal tanpa menanti kedatangan ayah menjemput kami.

    Sementara yang lain menunggu kawan kami pulang semula setelah menghantar kami pulang ke rumah.

    Sampai di rumah, ayahku menjadi hairan melihat kami pulang awal tidak seperti yang dijanjikan. Kakiku pula semakin membengkak dan kerana terasa sakit yang tidak dapat kutahan lagi, aku pun menangis sambil mengadu kepada ibu.

    Ayah terus bertanya sebab-sebabnya kakiku menjadi bengkak begitu. Lalu ku ceritakan kepada ayah dari awal kejadian tersebut sehinggalah aku terjatuh.

    Mendengar ceritaku itu, ayah pun berkata bahawa itulah akibatnya tidak mendengar nasihat orang tua.

    Kata ayah lagi, lembaga yang aku lihat itu adalah hantu berambut serai atau lebih senang dipanggil ‘hantu serai’ yang juga pernah ayah saksikan semasa berada di bukit tersebut.

    Ayah terus mengurut kakiku untuk membetulkan urat-urat kaki. Dan rasanya hendak putus semua urat-urat kakiku itu ketika ayah mengurutnya dengan minyak panas.

    Sakit yang aku rasakan hanya Allah saja yang tahu. Setelah itu barulah ayah membekamnya untuk mengeluarkan darah-darah kotor. Ternyata darahnya berwarna merah kehitaman.

    Selepas itu, ayah pun membalut kakiku dengan kain setelah diusap dengan minyak panas.

    Kata ayah lagi, itulah akibatnya terlalu suka sangat menegur sesuatu yang ganjil apatah lagi di tempat seperti itu.

    Sepatutnya aku tidak menegur lembaga tersebut walau bagaimana keadaannya sekalipun tapi seharusnya aku membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan ayat Kursi.

    Dan menurut kata ayah, bukannya hendak percaya dengan tahyul tapi tidak ada salahnya kita mengikut pesanan orang tua-tua sejak turun temurun dulu selagi ianya tidak melanggar akidah Islam.

    Lagi pula di dalam Al-Quran sendiri ada menyebutkan wujudnya makhluk halus yang tidak dapat kita saksikan dengan mata kepala sendiri. Mereka juga adalah makhluk ciptaan Tuhan.

    Memang semua itu sudah takdir dari Allah Yang Maha Esa dan memang sudah takdirnya aku akan jatuh cuma setiap sesuatu itu pasti ada penyebabnya.

    Semenjak hari itu sehinggalah sekarang sama ada aku mahupun kawan-kawanku itu tidak pernah lagi mengunjungi tempat tersebut.

    Sekiranya pun ada antara saudara-maraku yang membawa berkelah di sana, aku tidak pernah ikut serta. Bukannya apa sekadar untuk berwaspada.

    Gara-gara peristiwa itulah buku lali kakiku yang terseliuh itu seperti termasuk ke dalam hinggalah ke hari ini. Semenjak kejadian itu aku tidak pernah lagi menegur apa pun agak ganjil pada penglihatanku.

    Yang penting jika aku melihatnya aku hanya mampu berserah kepada Yang Maha Kuasa dan tidak lupa juga membaca surah-surah Al-Quran yang terlintas di fikiranku.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Cuaca panas di kebanyakan kawasan Jepun

    TOKYO, 7 JULAI – Jepun berdepan gelombang haba luar biasa, dengan suhu hampir mencecah 40 darjah Celsius di kawasan Tokai hingga Kanto, hari ini. Agensi...