Aktres, Nad Zainal menempelak individu menuduh dirinya me-nerima tempahan vaksin bukan menerusi saluran betul.
Nad, 31, atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin berkata, dia juga sama seperti orang ramai berusaha membuat pendaftaran ketika vaksin AstraZeneca bagi pusingan kedua untuk individu bawah 60 tahun dibuka pada jam 12 tengah hari, semalam.
“Ketika melayari Twitter semalam, ada seorang pengguna menyebut nama saya kononnya mempunyai saluran lain untuk mendapatkan vaksin.
“Saya cuba mendapatkan tempahan slot vaksin selama berminit-minit, di mana saya menunggu dari jam 11:30 pagi. Semua tahu pendaftaran bermula 12:15 tengah hari dan bukan senang mendapatkannya.
“Jadi, saya memang bengang apabila dituduh melulu kerana saya melakukannya melalui saluran betul. Saya tidak pernah meletakkan diri patut menerima apa-apa keistimewaan berbanding orang lain. Sebab saya tahu bagaimana susahnya mendapatkan vaksin ini, tambah lagi, ia percuma pastinya ramai yang mahu,” katanya kepada BH Online.

Ekoran itu, pelakon Takdir Yang Tertulis itu juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat andaian tidak berasas sehingga memburukkan nama barisan selebriti tanah air.
“Jangan membuat andaian. Nasihat saya, orang ramai yang memotong barisan dan menggunakan saluran tidak betul, tak patut berbuat sedemikian. Ini kerana ramai ibu bapa yang berusia 70 tahun menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin. Jadi jangan pentingkan diri sendiri,” kata ibu kepada dua cahaya mata, Budi Kalsom dan Fahad Ibrahim.
Terdahulu, Datin Paduka Eina Azman dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah mencetuskan persoalan dalam kalangan warganet apabila didakwa menerima suntikan vaksin di sebuah hospital di Ipoh, Perak.
Ia mengundang pertanyaan apabila warganet mendakwa Eina memotong giliran pengambilan vaksin sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa sehingga 7 Jun ini.
Sementara itu, Nad bersyukur selepas 15 hingga 20 minit berusaha mendaftar semalam, tempahannya diterima. – Agensi