Monday, July 8, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Diusik oleh anak hantu

    Oleh Double S –

    Rumah kami sekeluarga berupa dua tingkat dan agak besar, tingkat bawah diperbuat daripada batu dan tingkat atas daripada kayu. Mula-mula rumah papan satu tingkat tapi lama kelamaan ayah menambah bilik di bawah rumah memandangkan kami adik beradik sudah meningkat dewasa.

    Lagipun aku merupakan salah seorang anak ayah yang tidak berapa suka berkongsi bilik.

    Bilikku terletak ditingkat bawah. Bilikku ini tidaklah besar, sekadar untuk memuatkan almari baju, katil dan meja. Apabila pulang dari sekolah aku terus masuk ke dalam bilik.

    Pendek kata kebanyakkan masa rehat tertumpu di dalam bilik kesayanganku.

    Apabila aku hendak melelapkan mata di dalam bilikku ini memang ada saja yang ku terasa seolah-olah diganggu terutama sekali pada sebelah malam. Pernah aku tidak tidur semalaman apabila diganggu oleh sesuatu yang ghaib. Ianya berlaku bulan lepas. Pada sebelah petang, aku sibuk dengan kerja sekolahku.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Aku bercadang hendak meyelesaikan semua kerja sekolah pada petang itu juga, agar keesokkannya aku tidak diganggu oleh kerja sekolah. Selesai saja separuh daripada kesemua kerja sekolah, aku mula merasa letih.Aku hairan mengapa aku merasa sungguh letih, padahal seperti kebiasaannya aku tidak demikian. Untuk melegakan rasa letih, aku pun bercadang melelapkan mata sekejap sahaja. Tidak lama kemudian pandanganku pun semakin gelap.

    Aku terasa bagaikan ada seseorang yang mengetuk pintu bilikku.

    “Siapa,” kata ku dengan malasnya.

    “Siapa kan tu….,”kataku lagi sambil memandang pintu. Aku mengagak adikku yang bongsu yang mengetuk pintu bilik. Hanya dia seorang yang tidak memperkenalkan nama kalau mengetuk pintu bilik. Sangkaanku mungkin adikku nak belajar matematik seperti selalu.

    “Kalau Linda kan belajar esok saja… malas ku…. Esok tah bah,” sambungku menoleh ke arah lain.

    Tiba-tiba aku terasa seram sejuk bulu romaku sendiri. Aku merasa amat takut sekali dan cuba memberanikan diri melihat keadaan sekeliling.

    “Ahhhhh!!” teriakku sekuat hati.

    Bukan main lagi aku terkejut apabila terpandang di hadapan ku seorang budak perempuan dalam lingkungan lima tahun yang tidak ku kenali. Di dalam ketakutan itu sempat jua ku meneliti budak itu.Rupanya sungguh cantik berkulit putih gebu. Pakaiannya berwarna putih seperti baju kurung. Budak itu tersenyum apabila aku terpaku melihat wajahnya.

    “Aku inda ada kawan bermain dan mahu kakak jadi kawanku.Rumahku inda jauh dari sini.” Itulah kata-kata budak itu yang kuingati.

    Belum sempat ku bertanya siapa dan siapakah budak tersebut, tiba-tiba sahaja budak itu menghilang dari pandangan.

    “Bangun lai….sadar tah. Petang macam ani pun kau tidur,” suara emak kedengarannya jauh.

    “Kenapa ma….,”kataku kehairanan.

    “Kau atu mengigau…. Iatah jangan tidur di siang hari,” lantang saja suara emak menjawab.

    “Astaghafirullahalazim…ma…mengigau berjalan tah aku tadi?”soalku ingin tahu.

    ‘Inda, abis adimu Si Maslina, di sebalah bilik atu mendengar kau berteriak,” jawab emak.

    Barulah ku sedar. Aku bermimpi di siang hari tadi. Rupanya adikku terdengar aku berteriak semasa aku terkejut di dalam mimpi. Lalu memanggil emak untuk menjenguk apa yang telah berlaku terhadap diriku.

    Secara jujur, aku merasa sedikit hampa dikejutkan dari mimpi sebentar tadi kerana kalau tidak tentu aku akan tahu nama dan anak siapakah budak tersebut. Aku tidak menceritakan tentang mimpiku itu kepada sesiapa kerana bagi pendapat diriku kalau ku ceritakan berkemungkinan aku tidak akan bermimpi tentang budak itu lagi. Lagipun mimpi hanya mainan tidur.

    Selesai saja sembahyang Asar. Aku meneruskan lagi menyelesaikan kerja sekolahku yang belum siap sepenuhnya. Kali ini fikiranku terganggu kerana asyik memikirkan maksud mimpi yang baru ku alami itu. Aku pun bercadang menyambung kerja sekolahku di sebelah malam.

    Ku habiskan masa petangku menolong emak menyiram dan membaja bunga di halaman.

    Semasa menyiram bunga aku melihat rumah jiran dan meneka rumah yang mana satukah tempat budak misteri di dalam mimpiku tinggal.

    Pada sebelah malam selepas solat Isyak, aku menyambung kerja sekolahku. Walaupun aku masih teringat tentang mimpi tersebut, aku gagahi diriku membuat kerja sehingga selesai.

    Aku mengambil masa yang lama untuk menyiapkan kerja sekolahku tetapi siap juga akhirnya. Lega jua rasa hatiku. Ku lihat jam di dinding menunjukkan pukul 11:30 malam.

    Biasanya aku tidur paling lewat pukul 10 malam.

    Emak pernah berkata supaya aku jangan membiasakan diri tidur lewat, bimbang nanti kesihatan terganggu keesokkannya. Kata-kata emak tu ada jua kebenarannya kerana pernah suatu hari aku terlewat tidur sehingga tengah malam.

    Keesokkan harinya aku bangun mendapat demam selesema. Mata seakan menyamal dan tidak mahu dilelapkan lagi setelah hari sudah jauh malam. Aku cuba melelapkan mata dengan mendengar radio dan merekodkan waktu bila matinya radio secara otomatik.

    Dengan cara itu, aku fikir, aku dah tidur dengan lena semasa kuasa radio tertutup.

    Aku masih juga belum tidur walaupun radio sudah dimatikan. Akhirnya aku mengambil keputusan agar memaksa diri tidur dengan secara berbaring sambil mata tertutup rapat.

    Dalam keadaan sedar dan tidak aku merasakan hujung kaki aku seperti ditarik.

    Kali ini aku memastikan diriku tidak berada di dalam mimpi. Aku mencubit lenganku. Sakit ku terasa menandakan aku di dalam keadaan sedar. Ku lihat sekeliling, tiada yang mencurigakan.

    Tiba-tiba mataku terpandang kain dihujung katil seakan bergerak seperti ditiup angin. Aku menjadi cemas dan takut. Aku tidak berani hendak menjenguk ke bawah katil. Takut nanti aku tersepak dengan ‘benda’ yang sungguh menakutkan. Maklumlah aku ini lemah semangat juga orangnya.

    Kakiku ditarik lagi. Aku hanya mampu berbaring kaku sambil mataku melihat kakiku ditarik perlahan. Aku dapat merasakan yang menarik kakiku adalah tangan manusia.

    Tetapi aku tidak nampak siapa yang melakukannya. Ini yang membuatkan aku terlalu takut sehingga menggigil seluruh badanku. Dengan semangat yang ada di dalam ketakutan itu aku membaca ayat suci berulang kali. Bibirku sudah tidak bersuara lagi. Aku hanya membaca ayat suci di dalam hati.

    Aku menggigil hingga ke subuh. Itu pun apabila emak hendak membangunkan untuk solat Subuh. Apabila emak melihat keadaan ku begitu emak terus memelukku.

    ‘Kenapa kau lai…kenapa ni’ kata emakku yang begitu cemas.

    ‘Sakit kau, lai…lai Suhara…’ emak berkata lagi apabila aku menjawab pertanyaannya sambil mengusap peluh di mukaku.

    Emak pun meninggalkan aku memanggil semua ahli keluarga yang berada di dalam rumah untuk melihat keadaan ku kecuali ayahku. Kebetulan giliran ayah bekerja sebelah malam.

    Setengah jam kemudian apabila keadaan ku reda, baru aku menceritakan kepada mereka apa yang telah ku alami dari aku bermimpi di sebelah petang sehinggalah yang menyebabkan aku mengigil ketakutan.

    Keesokkan paginya kami sekeluarga tidak sabar menunggu ayah pulang dari kerja terutama sekali adik ku yang bongsu. Adikku Linda ini memang suka memberitahu kepada ayah, dan ayah keluar dari kereta hingga ke pintu dapur.

    “Banar kau kerasukan, Suhara,” kata ayahku setelah terlihat aku berdiri di tepi jendela dapur.

    Ayah mengarahkan kami sekeluarga berkumpul dan bertanyakan apa yang telah terjadi.

    Aku pun memulakan ceritaku tentang mimpi dan diusik ‘hantu’ kepada ayah. Ayah hanya tersenyum mendengar ceritaku.

    “Macam ani lai. Ani baru tah ku kan berpadah arah kamu semua,”kata ayahku sambil memandang kami adik beradik.

    “Mama mu dulu, sebelum kau lahir pernah mengalami, sama jua macam kau ani,” kata ayahku lagi.

    “Masa atu arwah nini laki mu masih hidup,” sambung ayah memandangku.

    Ayahku pun menceritakan bagaimana emak jua pernah mengalami apa yang aku alami dan nini laki cuba ‘menghubungi’ siapakah yang telah ‘mengganggu’ emak dulu.

    Usaha nini laki berbaloi jua akhirnya apabila arwah dapat mengetahui yang mengganggu itu ialah anak kepada penghuni serumpun pokok serai yang tertanam di belakang rumah kami. Penghuni tersebut memberitahu nenek bahawa tujuan anaknya cuma hendak menjadikan emak sebagai teman.

    Pokok serai itu ditanam oleh orang yang empunya tanah dan rumah yang telah dibeli oleh ayah sebelum berkahwin dengan emak. Ayah tidak lagi mengetahui di mana orang empunya pokok serai tersebut berpindah. Ayah masih lagi mencari di mana orang itu berada supaya ayah boleh memotong pokok serai tersebut.

    Kita memang maklum bukan saja manusia menjadi penghuni dunia ini. Di dalam agama ada menyebut bahawa jin juga menjadi penghuni dunia ini.

    Aku sempat bertanya pada ayah, siapakah nama anak penghuni tersebut.

    ‘Nama…nya, namanya Suhara!’ jawab ayah teragak-agak.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Cuaca panas di kebanyakan kawasan Jepun

    TOKYO, 7 JULAI – Jepun berdepan gelombang haba luar biasa, dengan suhu hampir mencecah 40 darjah Celsius di kawasan Tokai hingga Kanto, hari ini. Agensi...