Monday, April 7, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diusir dari pangsapuri gara-gara pelihara anak kerbau

    GUANGDONG, 6 APRIL- Seorang lelaki Cina diusir dari pangsapuri yang disewa sebanyak dua kali tahun ini kerana haiwan peliharaannya yang luar biasa – seekor anak kerbau.

    Menurut Oddity Central, Chen, seorang peninju berusia 30 tahun yang telah bersara dan kini bekerja sebagai jurulatih kecergasan dan pelatih tinju sambilan dari Foshan, Wilayah Guangdong China, telah menarik perhatian ramai gara-gara haiwan peliharaannya yang luar biasa.

    Pada bulan Januari, Chen membeli seekor anak kerbau sebagai haiwan peliharaan. Pada mulanya, dia mahu  mendapatkan seekor anjing, tetapi dia berubah fikiran untuk memelihara anak kerbau.

    Dia berpendapat bahawa memelihara anak kerbau boleh menjadi peringatan bahawa dia harus bekerja keras untuk mencapai matlamat hidupnya, tetapi pada masa yang sama, harus berhati-hati untuk tidak terlalu kuat bekerja.

    Apa pun pendapatnya, keputusannya yang luar biasa itu telah menyebabkan dia menghadapai kesukaran apabila telah diusir sekurang-kurangnya dua kali oleh tuan tanah.

    Namun dia enggan berputus asa dan sedang mencari tempat lain untuk disewa.

    Gambar dan video tular di media sosial China menunjukkan Chen membersihkan dan memberi makan kepada anak kerbau yang dinamakan Bull Demon King berusia empat bulan, memakaikan pakaian dan membawanya keluar untuk berjalan-jalan.

    Terdapat kecaman di media sosial mengatakan Chen hanya menggunakan haiwan itu untuk menarik perhatian tetapi dia telah membalas kritikan dengan mendakwa bahawa dia benar-benar menyayangi Bull Demon King dan berhujah bahawa tiada sesiapa yang sanggup diusir dari tempat tinggal sekiranya tidak sayangkan haiwan peliharaan mereka.

    Ditanya sama ada haiwan itu bising, Chen berkata bahawa Bull Demon King mempunyai personaliti yang sangat lembut dan tenang dan hanya menjadi resah ketika lapar lapar.

    Dia turut mengakui bahawa saat paling sukar untuk hidup bersama dengan anak kerbau adalah menjaga kebersihannya.

    Namun, dia gigih membersihkan Bull Demon King membersihkan dan membasmi kuman tempat tinggalnya sekerap mungkin.

    Baru-baru ini Chen diusir lagi untuk kali kedua dalam masa tiga bulan, namun Chen tidak berniat untuk melepaskan Bull Demon King.

    “Jika awda sayangkannya, awda akan sanggup menghadapi segala-galanya,” katanya. – Agensi

     

    Semua di atas: Antara saat kehidupan Chen bersama Bull Demon King. – Oddity Central
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda