LONDON, 1 JUN – Bola sepak Kejuaraan Inggeris divisyen kedua akan disambung semula di stadium tertutup pada 20 Jun ini selepas pegawai liga bersetuju semalam dengan tarikh sementara itu.
Liga Perdana Inggeris (EPL) mengumumkan pada hari Khamis musim EPL akan dimulakan semula pada 17 Jun ini berikutan penggantungannya akibat COVID-19 yang menghentikan kesemua perlawanan sejak pertengahan bulan Mac lalu.
Liga Bola Sepak Inggeris (EFL), yang mengatur tiga divisyen bawah Liga Perdana, mengatakan Kejuaraan Inggeris akan kembali sekitar waktu yang sama, dengan syarat semua panduan keselamatan bagi mencegah penularan wabak COVID-19 dipatuhi.
“Berikutan pengumuman dibuat oleh kerajaan untuk membenarkan acara sukan elit kembali di sebalik stadium tertutup, EFL pada hujung minggu lalu telah bersetuju untuk tarikh memulakan semula pada akhir hujung minggu iaitu 20 Jun untuk perlawanan Sky Bet Championship,” katanya dalam satu kenyataan.
“Tarikh itu tertakluk kepada syarat yang ketat bahawa semua syarat keselamatan dan panduan kerajaan perlu dipenuhi dan kelab-kelab tersebut mendapat izin daripada pihak berkuasa tempatan mereka untuk mengadakan pertandingan di stadium mereka.” – AFP