Oleh Amri HTZ –
Isu pengapit hos yang sering kali longgar atau tertanggal ketika digunakan menyebabkan rasa jengkel yang tidak berkesudahan. Ia sering berlaku pada hos yang digunakan untuk menampung tekanan tinggi seperti air atau angin.
Bagi menyelesaikan masalah pengapit hos sedemikian, dengan hanya menggunakan dawai dan alat mengetatkan khusus untuknya, masalah sedemikian boleh diselesaikan dengan mudah. (Gambar 1)
Antara barang diperlukan
• Paip besi 12mm
• Rod besi 10mm dan 13mm
• Coach bolt M8
• Sesendal besi
• Rod besi atau sepana Allen
• Mesin angle grinder
• Mesin gerudi
• Alat center punch
• M8 taper
• Kikir besi
PERSIAPAN AWAL SEBELUM PEMBUATAN
Terdapat dua ukuran rod besi akan digunakan pada projek ini. Besi 13mm akan digunakan untuk bahagian pemegang dan 10mm pula untuk bahagian depan yang runcing. Sementara paip besi 12mm yang mempunyai lubang berdiameter 9.5mm pula untuk bahagian badan alat. Rod atau sepana Allen pula akan dibentuk dan digunakan untuk pin tempat mengikatkan dawai sebagai pengapit hos. (Gambar 2)
Terlebih dahulu, potong rod untuk bahagian pemegang dengan panjang 80mm. Ini diikuti dengan paip besi bahagian badan alat dengan panjang 60mm. Gunakan mesin angle grinder dengan material potongan ditetapkan pada bench vise. (Gambar 3)
Bagi membentuk bahagian hujung alat yang meruncing, pastikan awda tidak memotongnya dengan ukuran 80mm panjang terlebih dahulu. Ini bagi memastikan ia mudah untuk dipegang ketika proses membentuknya.
Memandangkan ketika proses membentuknya akan menjadi panas, gunakan sebatang kayu untuk membantu awda mengekalkannya pada kedudukan. Hanya 60mm dari bahagian hujung akan dibentuk sementara 20mm lagi dibiarkan pada ukuran asal untuk memastikannya ketat ketika dimasukkan pada bahagian badan rekaan. (Gambar 4)
Untuk besi bahagian badan, bahagian tengahnya akan ditebuk bagi membolehkan pin dapat dimasukkan selain khusus bagi coach bolt jenis M8 dapat bergerak.
Dengan menetapkan ukuran 28mm dan 10mm dari kedua-dua bahagian hujung, awda kini boleh menebuk dan membuang sebahagian besi pada bahagian tengahnya menggunakan mesin Dremel. (Gambar 5)
TUMPU PERHATIAN PADA PIN
Pin yang akan ditetapkan pada coach bolt dan bahagian hujung alat memerlukan awda menebuknya menggunakan mata gerudi berukuran 4.8mm. Alat center punch akan digunakan pada langkah ini sebagai penanda kedudukan untuk memudahkan mata gerudi menebuknya. (Gambar 6)
Gunakan vise bersesuaian ketika menebuk material. Hal ini penting bagi memastikan keselamatan di mana ketika langkah menebuknya, risiko mata gerudi berganjak daripada kedudukannya adalah tinggi sekali gus boleh mengenai tangan awda. (Gambar 7)
Pin yang terbuat daripada rod besi atau sepana Allen akan dibentuk dengan diameter 5mm diperlukan. Oleh itu, ia memerlukan awda untuk menggosok permukaan luarannya menggunakan mesin angle grinder. Menggunakan mesin kertas pasir jenis belt akan mempercepatkan lagi langkah pembuatannya. Setelah itu potong dengan panjang 30mm untuk pin pada badan dan hujung alat pengetat dawai. (Gambar 8)
Setelah siap membentuk pin, kini awda boleh memasukkannya ke dalam lubang pada permukaan coach bolt. Langkah ini dilakukan setelah bolt tersebut dimasukkan ke dalam badan rekaan. Selain itu, bahagian hujung rekaan juga boleh dicantumkan bersama badan rekaan dengan cara mengetuknya masuk. (Gambar 9)
ALUR UNTUK KEKAL KETATKAN DAWAI
Dalam memastikan dawai yang hendak diketatkan pada hos nanti kekal pada kedudukan, bahagian hujung yang meruncing akan direka dengan alur berkedalaman 2mm. Pastikan alur tersebut selari dengan kedudukan pin yang telah dimasukkan. (Gambar 10)
Coach bolt yang terlalu panjang, kemudiannya turut dipotong dengan ukuran 95mm.
Seperti langkah sebelumnya, tetapkan kedudukan material potongan pada vise sebelum memulakan langkah pemotongan. (Gambar 11)
Langkah pembuatan terakhir ialah menebuk bahagian tengah pemegang khusus lubang untuk coach bolt. Setelah menebuknya, reka bebenang pada bahagian dalam lubang tersebut menggunakan alat taper berukuran M8 sesuai dengan bebenang pada coach bolt.
Sebelum memasukkan coach bolt, tempatkan sesendal besi di antara badan dan pemegang rekaan. Dengan terciptanya alat pengetat dawai sebagai pengapit hos ini, alat kapit hos yang biasa digunakan tidak akan lagi mudah longgar atau tertanggal. (Gambar 12)
Tip rekaan
• Bagi mengilatkan semula permukaan rekaan, gunakan polishing wax berwarna putih bersama polishing wheel jenis kapas.
• Material yang hendak dibentuk lebih mudah jika ia dalam ukuran panjang bagi membolehkan awda memegangnya.