Hampir setiap kereta yang dibina sejak 1995 mempunyai penapis udara kabin.
Tujuannya adalah untuk menangkap kotoran, habuk dan debunga sebelum ia sampai ke bahagian dalam kereta awda, di mana zarah-zarah ini boleh menyebabkan masalah kesihatan atau ketidakselesaan kepada penumpang.
Malangnya, apabila penapis memerangkap bahan bawaan udara ini, ia akan tersumbat dari semasa ke semasa.
Penyumbatan ini menyekat aliran udara serta mengurangkan kecekapan pemanas dan penyaman udara.
Oleh itu, pertimbangkan tugas DIY yang mudah iaitu menukar penapis udara kabin untuk memastikan bahawa haba dan penyaman udara awda berfungsi dengan cekap dan untuk memastikan bahawa bahagian dalam kereta awda berbau harum.
Gantikan penapis udara kabin awda setiap 20,000 atau 40,000 kilometer, sebagai sebahagian daripada penyelenggaraan biasa kenderaan awda.
Jika awda memandu dalam persekitaran berdebu seperti tapak pembinaan atau ladang, gantikan penapis dengan lebih kerap.
DUA JENIS UTAMA PENAPIS UDARA KABIN
Menurut laman blog eBay Motors, penapis udara kabin biasa yang paling murah diperbuat daripada kertas berlipat putih. Ia menapis bahan zarah sehingga kira-kira saiz sebiji lada hitam.
Walau bagaimanapun, penapis jenis ini tidak memerangkap debunga atau meneutralkan bau.
Kami mengesyorkan penapis udara arang-karbon diaktifkan, yang tidak terlalu mahal. Penapis jenis ini menyingkirkan zarah halus dengan lapisan karbon aktif.
Ia menangkap pelbagai bahan kimia dan bahan pencemar bawaan udara termasuk alkohol, eter, hidrokarbon, asid organik dan sulfur dioksida.
Penapis udara arang-karbon diaktifkan juga memerangkap molekul bau yang dihasilkan daripada haiwan dan manusia termasuk asap rokok.
Awda boleh mengenali jenis penapis ini dengan warna kelabunya. Awda juga akan melihat bintik hitam arang karbon yang terbenam dalam bahan kertas.
Terdapat juga variasi penapis arang-karbon diaktifkan, sesetengahnya dengan penarafan udara zarah berkecekapan tinggi (HEPA) atau kualiti penyahbauan dan anti-mikrob.
CARA MENGGANTIKAN PENAPIS UDARA KABIN AWDA
Bergantung pada tahun, pembuatan dan model kereta awda, penukaran penapis kabin boleh disiapkan dalam masa lima minit atau mungkin mengambil masa lebih daripada satu jam bekerja (malah memerlukan awda menanggalkan kotak sarung tangan).
Dengan kebanyakan kereta baharu, tugas ini adalah operasi plug-and-play yang mudah.
Manual pemilik kenderaan awda akan menunjukkan lokasi penapis kabin awda (dan mungkin mempunyai arahan untuk menukarnya).
Kerana penapis mengeluarkan zarah sebelum memanaskan atau menyejukkan udara, awda akan menemui penapis di hadapan kipas HVAC.
Awda mungkin boleh mengakses penapis daripada penutup cermin depan penutup plastik yang melindungi set pengelap cermin depan atau awda boleh mendapatkan akses dari bawah papan pemuka di bahagian kaki penumpang.
IKUTI ALIRAN
Untuk memasang penapis yang baharu, tarik penapis udara kabin yang lama keluar dari petaknya.
Ketika menukarnya, terutamanya penapis udara arang-karbon diaktifkan, pastikan awda memasukkannya dengan orientasi yang betul.
Anak panah yang ditunjukkan pada penapis harus menghadap ke arah aliran udara.
Banyak penapis kabin baharu disertakan dengan arahan tentang cara memasangnya.
Carian web yang cepat akan memberikan butiran tentang pemasangan untuk pembuatan dan model awda yang spesifik.
Selepas awda menyelesaikan tugas buat kali pertama, penggantian penapis udara
kabin seterusnya akan menjadi mudah. – Agensi