KUALA LUMPUR – Selepas lebih sedekad berkecimpung di arena penyiaran, Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29 (ABPBH29), DJ Lin, bakal mengeluarkan buku biografi pada tahun ini.
Beliau yang sudah 16 tahun terbabit dalam bidang berkenaan percaya buku terbabit menjadi koleksi yang patut dimiliki kalangan peminatnya.
“Selepas lebih sedekad, saya mengharungi pelbagai kisah jatuh bangun dalam dunia radio.
“Saya juga sudah melalui bermacam-macam kenangan pahit dan manis. Semua itu menjadi nadi kekuatan saya dalam meneruskan kehidupan ini.
“Segala-galanya saya akan kongsi bersama peminat dalam buku terbabit. Saya optimis, apa yang diusahakan ini adalah perlu ketika saya berada di puncak kejayaan dan nama masih meniti di bibir peminat. Saya kena pandai mencari peluang dan menggunakan kesempatan yang ada bagi mengukuhkan nama DJ Lin,” katanya.

Kata wanita berusia 41 tahun yang juga ibu tunggal kepada dua anak sedang meningkat remaja ini, buku berkenaan bakal dilancarkan sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti, bersama-sama dengan koleksi fesyen diberi nama DJ Lin by Ooi Couture.
Menurut DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, buat julung kali beliau bekerjasama dengan pereka fesyen bagi menghasilkan koleksi pakaian sendiri.
“Sebelum ini, saya hanya mengeluarkan barangan edisi terhad seperti kemeja T, cawan dan pelekat kereta yang tertera nama saya. Ketika ini, pihak saya dan Ooi sedang giat mengembangkan produk fesyen koleksi sedia pakai raya dan pakaian pejabat.
Mengikut perancangan, ia akan dilancarkan sebelum raya nanti. Pakaian ini juga boleh disuaipadan.
“Tidak ketinggalan dikeluarkan ialah sampul dan kad raya edisi istimewa,” kata penyampai Suria FM yang cukup dikenali dengan program Suria Cinta itu.