Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic alami kecederaan hamstring

    MELBOURNE, AUSTRALIA, 2 FEB — Pengarah kejohanan Terbuka Australia, Craig Tiley berkata Novak Djokovic bermain di acara Grand Slam dengan kecederaan hamstring di kaki kirinya sepanjang perlawanan untuk memenangi kejuaraan.

    “Dia mendapat kecederaan yang teruk, tetapi tidak ada sesiapa boleh mempersoalkan semangat kesukanannya. Hamstringnya koyak 3cm,” kata Tiley kelmarin dalam temu bual bersama SEN Sportsday.

    “Saya fikir timbul banyak spekulasi sama ada ia benar atau tidak. Sukar untuk mempercayai bahawa seseorang boleh melakukan apa yang dilakukan dengan jenis kecederaan itu. Tetapi dia pemain amat luar biasa.”

    Djokovic memenangi trofi di Melbourne Park pada hari Ahad dengan menewaskan Stefanos Tsitsipas dalam straight set untuk menjulang gelaran ke-10 dan mengumpul rekod ke-22 Grand Slam secara keseluruhan. Rafael Nadal adalah satu-satunya lelaki lain yang telah memenangi banyak kejuaraan utama.

    Kejayaan itu juga membolehkan Djokovic kembali ke kedudukan satu dalam ranking ATP pada hari Isnin.

    Pemain berusia 35 tahun dari Serbia itu mengalami kecederaan hamstring semasa perlawanan pemanasan di Adelaide menjelang Terbuka Australia. Dia memakai balutan di paha kirinya dan dikunjungi oleh jurulatih semasa perlawanan minggu pertama di Melbourne.

    Dia berkata dia mengambil banyak pil penahan sakit dan melakukan pelbagai rawatan untuk merawat kakinya.

    “Biar saya katakan begini, Saya tidak katakan 100%, tetapi 97% pemain, apabila mendapat keputusan MRI setelah mengalami kecederaan yang serupa, akan terus ke pejabat pengadil dan menarik diri daripada kejohanan,” jurulatih Djokovic, Goran Ivanisevic, berkata selepas perlawanan akhir.

    “Tetapi berlainan dengan Djokovic kerana dia adalah seorang pemain yang luar biasa.” – AP

    Novak Djokovic semasa perlawanan akhir perseorangan lelaki pada kejohanan tenis Terbuka Australia di Melbourne, Australia, 29 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda