MADRID, 15 OGOS – Persaingan yang semakin meningkat antara Carlos Alcaraz dan Novak Djokovic akan diperbaharui pada peringkat kumpulan Pusingan Akhir Piala Davis bulan depan.
Alcaraz dan Djokovic dimasukkan dalam pasukan yang diumumkan semalam oleh Sepanyol dan Serbia masing-masing, untuk pertandingan yang akan berlangsung pada 12-17 September di Valencia, Sepanyol.
Alcaraz menewaskan Djokovic dalam perlawanan akhir Wimbledon pada Julai. Pemain Sepanyol itu adalah No. 1 di dunia, dengan Djokovic menduduki tempat nombor 2.
Sepanyol dan Serbia telah diundi dalam kumpulan yang sama bersama Republik Czech dan Korea Selatan. Perlawanan peringkat kumpulan juga akan dimainkan di Bologna, Itali, Manchester, England dan Split, Croatia.
Dua pasukan teratas dalam setiap empat kumpulan akan mara ke pusingan akhir di Malaga, Sepanyol pada November.
Alcaraz akan mengetuai pasukan Sepanyol yang akan merangkumi Alejandro Davidovich Fokina, Roberto Bautista Agut dan Marce Granollers. Serbia kendalian Djokovic juga akan mempunyai Laslo Djere, Miomir Kecmanovic, Dusan Lajovic dan Hamad Medjedovic.
Sembilan daripada 20 pemain terbaik dunia sekarang telah dipanggil untuk mewakili pasukan kebangsaan mereka – Jannik Sinner dan Lorenzo Musetti untuk Itali, Frances Tiafoe dan Tommy Paul untuk Amerika Syarikat, Alex de Minaur untuk Australia, Cameron Norrie untuk Britain dan Borna Coric untuk Croatia. – AP
