SYDNEY, 15 NOV – Bekas juara nombor satu dunia, Novac Djokovic akan diberikan visa untuk bermain dalam Terbuka Australia 2023, lapor media tempatan kelmarin.
Kerajaan Australia telah mengambil keputusan untuk memberikan visa kepada pemain Serbia yang tidak divaksinasi itu untuk kejohanan Grand Slam, membatalkan larangan tiga tahun selepas dia dibuang dari negara, kata penyiar kebangsaan, ABC dan media tempatan lain.
Kementerian Imigresen Australia dan Tenis Australia diminta oleh AFP untuk memberikan komen berkenaan laporan tersebut.
Kejohanan tahun ini dibelenggu oleh juara Terbuka Australia sembilan kali, Djokovic yang dihalau keluar dari negara sehari sebelum kejohanan selepas konflik undang-undang ke atas status visanya.
Larangan tiga tahun Djokovic boleh dibatalkan dengan budi bicara kerajaan berhaluan kiri Australia pimpinan Perdana Menteri, Anthony Albanese, yang berbeza dari kerajaan campuran konservatif yang berkuasa semasa dia dibuang keluar negara.
Sepanjang bulan lalu, terdapat petunjuk kerajaan Austalia mungkin akan mengubah pendirian mereka.
“Belum ada yang rasmi lagi,” Djokovic memberitahu wartawan selepas menang perlawanan pembukaan Final ATP di Turin kelmarin. “Kami masih menunggu. Mereka sedang berhubung dengan pihak kerajaan Australia. Itu sahaja yang dapat saya katakan buat masa ini.” – AFP