PARIS, 1 JUN – Elina Svitolina dari Ukraine kelmarin berkata bahawa Novak Djokovic sepatutnya bebas untuk ‘menyatakan pendapatnya’ selepas warga Serbia itu secara kontroversi menulis ‘Kosovo adalah jantung Serbia’ pada kamera di Terbuka Perancis.
Svitolina, yang berkali-kali bersuara mengenai tindak balas tenis terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, percaya pemain sepatutnya boleh bercakap secara terbuka mengenai isu politik.
Djokovic dikritik kerana komennya mengenai pertembungan baru-baru ini di Kosovo oleh menteri sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera yang berkata dia ‘tidak sepatutnya terlibat’.
“Kita hidup dalam dunia bebas, jadi mengapa tidak menyatakan pendapat awda tentang sesuatu?,” kata Svitolina, yang mara ke pusingan ketiga dengan kemenangan 2-6, 6-3, 6-1 ke atas Storm Hunter kelmarin.
“Saya rasa jika awda mempertahankan sesuatu dan awda fikir ini adalah caranya, maka awda harus katakannya.
“Maksud saya, jika awda duduk bersembang bersama rakan, awda akan menyatakan pendapat awda, rakan awda juga akan menyatakan pendapatnya. Jadi, mengapa tidak?”
Tiga puluh anggota pengaman dari pasukan pimpinan NATO di Kosovo cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan etnik Serb baru-baru ini.
Djokovic mempertahankan mesejnya dalam komen kepada media Serbia, mengatakan bahawa Kosovo adalah ‘kubu kuat kami’. – AFP
