NEW YORK, 31 OGOS – Pemain pilihan utama, Novak Djokovic memulakan perjuangan untuk merebut kejuaraan Grand Slam ke-18 hari ini dalam kejohanan Terbuka AS 2020 tanpa kehadiran peminat yang diadakan di gelembung kuarantin COVID-19 di Flushing Meadows.
Pemain nombor satu itu telah menarik tumpuan pada hari pembukaan kejohanan tenis yang lain dari sebelumnya di mana beberapa orang pemain utama terlepas dari beraksi disebabkan oleh kebimbangan mengenai wabak koronavirus.
Djokovic yang akan menentang Damir Dzumhur dari Bosnia dan Herzegovina dalam perlawanan satu pusingan di stadium Arthur Ashe, yang mana selalunya dimeriahkan oleh jeritan penyokong seramai 23,000 orang.
Tetapi disebabkan oleh langkah-langkah ketat bagi menghindari COVID-19 di Pusat Tenis Kebangsaan AS, hanya pemain, kakitangan dan beberapa wakil media yang akan menyaksikan perlawanan secara langsung tahun ini.
“Sangat ganjil untuk menyaksikannya,” kata Djokovic, yang menggemari bermain di gelanggang keras Ashe New York, di mana dia menggambarkannya sebagai gelanggang yang ‘paling dinamik dan yang paling meriah’.
“Keadaan yang sangat berbeza tetapi kami perlu mengatasinya dan cuba untuk membiasakannya,” kata bintang dari Serbia itu.
Kejohanan Terbuka AS menandakan acara Grand Slam pertama semasa era koronavirus dan yang pertama sejak Terbuka Australia pada Januari dan Februari selepas dunia dilanda pandemik yang menjejaskan hampir semua kejohanan, termasuk Wimbledon.
Pemain-pemain telah dibawa dalam suasana yang dikawal ketat untuk mengurangkan risiko jangkitan dan sering menjalani ujian koronavirus sepanjang kejohanan. – AFP