Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic ‘hampir pulih 100 peratus’

    BELGRADE, 10 FEB – Novak Djokovic berkata hari ini kecederaan kaki yang menghancurkan impiannya di Terbuka Australia, kini ‘hampir 100 peratus pulih’ dan dia bersedia untuk memburu gelaran ATP ke-100 di Doha bulan ini.

    “Tiada lagi koyak otot. Kecederaan ini hampir 100 peratus sembuh dan saya bersedia untuk meraih lebih banyak kemenangan,” kata Djokovic dalam satu temu bual bersama akhbar Montenegro, Vijesti.

    “Saya telah mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatan untuk berlatih dan membuat persediaan.

    “Kejohanan di Doha akan berlangsung dalam masa tujuh hari, dan saya mengikuti jadual yang dirancang.”

    Hasrat Djokovic untuk mencipta rekod kejuaraan Grand Slam ke-25 di Terbuka Australia berakhir apabila dia terpaksa menarik diri akibat kecederaan selepas tewas set pertama kepada Alexander Zverev di separuh akhir.

    Novak Djokovic meraikan mata kemenangan menentang Carlos Alcaraz dari Sepanyol dalam perlawanan suku akhir perseorangan lelaki pada hari ke-10 kejohanan tenis Australian Open di Melbourne pada 22 Januari. – AFP

    Pemain berusia 37 tahun itu sebelum ini bergelut dengan kecederaan ketika menewaskan Carlos Alcaraz di suku akhir.

    Namun, Djokovic kini dijangka kembali beraksi di Terbuka Qatar yang bermula pada 17 Februari, dengan harapan untuk menyertai Jimmy Connors dan Roger Federer dalam kelompok pemain yang mencapai 100 gelaran ATP.

    “Saya sudah memburunya (gelaran ATP ke-100) sejak Oktober lalu. Tapi kita akan lihat, ia akan datang apabila tiba masanya,” kata pemain dari Serbia itu, yang kini menduduki ranking ketujuh dunia.

    “Syukur, saya berjaya pulih dengan cepat. Saya mengalami beberapa kecederaan lagi baru-baru ini berbanding 15 tahun pertama kerjaya saya.

    “Ini mungkin disebabkan usia, tetapi badan saya masih sihat dan saya masih mempunyai semangat dan keinginan.”

    Bekas nombor satu dunia itu terpaksa menarik diri sebelum suku akhir Terbuka Perancis tahun lalu, apabila dia mengalami kecederaan lutut kanan dan menjalani pembedahan meniskus. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda