TOKYO, 29 JULAI – Novak Djokovic terus memburu gelaran Golden Slamnya selepas berjaya menumpaskan pemain harapan Jepun, Kei Nishikori untuk mara ke separuh akhir tenis Olimpik lelaki, sementara saingan utamanya dalam memburu pingat emas, Daniil Medvedev tersingkir hari ini.
Dalam perlawanan tenis wanita, Belinda Bencic dari Switzerland mara ke final dan akan menentang penakluk Naomi Osaka, Marketa Vondrousova dengan kemenangan berturut-turut ke atas atlet Kazakhstan, Elena Rybakina.
Pemain nombor satu dunia, Djokovic, yang telah berjaya merangkul gelaran Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Wimbledon musim ini, menyingkirkan Nishikori 6-2, 6-0 hanya dalam 70 minit.
“Prestasi terbaik saya dalam kejohanan malam ini menentang lawan yang sangat bagus,” kata Djokovic, yang ingin menyamakan rekod Steffi Graf pada 1988 yang meraih Golden Slam dengan memenangi keempat-empat kejuaraan dan perseorangan Olimpik pada tahun yang sama.
“Saya rasa saya mempunyai jawapan untuk semua yang dia ada.”

Pemain Serbia itu tidak perlu mempamerkan prestasi terbaik untuk menentang lawan lemah yang melakukan 16 kesalahan dalam perlawanan.
Djokovic, 34, memenangi pingat gangsa di Olimpik Beijing 13 tahun yang lalu, akan menentang pemain Jerman, Alexander Zverev pada separuh akhir Jumaat ini setelah kemenangan pemain pilihan keempat itu dengan 6-4, 6-1 ke atas Jeremy Chardy.
Djokovic kelihatan selesa sepanjang perlawanan menentang Nishikori, dengan perlawanan dalam keadaan lebih sejuk berbanding pusingan sebelumnya setelah dia dan Medvedev adalah antara pemain yang melobi penganjur untuk mengubah jadual. Waktu perlawanan ditunda semula dari jam 11 pagi waktu tempatan kepada jam 3 petang.
“Senang kita bermain pada waktu petang, jadi kita tidak terlalu panas, walaupun masih sangat lembap,” tambahnya.
Djokovic kini akan menjadi pemain pilihan ramai untuk mara ke final untuk pertama kalinya.
Dia memegang rekod kemenangan 6-2 ke atas Zverev dan telah mengalahkan pemain nombor lima dunia itu dalam lima pertemuan terakhir mereka. – AFP