Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic lakar kemenangan ke-90 di Terbuka AS

    NEW YORK, 29 OGOS – Juara bertahan, Novak Djokovic melakar kemenangan ke-90nya di Terbuka Amerika Syarikat (AS) kelmarin dengan menewaskan rakan senegaranya, Laslo Djere yang menarik diri pada set ketiga dalam pertarungan pusingan kedua.

    Djokovic, juara empat kali pada kejohanan itu dan sedang memburu rekod kejuaraan Grand Slam ke-25, mendahului 6-4, 6-4, 2-0 apabila Djere menarik diri.

    Pemain nombor 109 dunia, yang telah memaksa rakan senegaranya bermain lima set di New York tahun lalu, memerlukan masa rehat untuk merawat kecederaan sejurus sebelum kehilangan set kedua.

    Djokovic yang berusia 37 tahun, juga memerlukan kunjungan dari jurulatih apabila mengalami ketegangan sampingan selepas menamatkan set pertama.

    Pemain nombor dua dunia, Djokovic kini menjadi satu-satunya pemain yang telah memenangi 90 perlawanan di keempat-empat Grand Slam.

    Reaksi Djokovic semasa perlawanan tenis Terbuka AS di New York City pada 26 Ogos. – AFP

    “Ia bukanlah sesuatu yang kita mahu lihat apabila ada pemain menarik diri. Laslo mengalami kecederaan yang menyebabkan dia terpaksa meninggalkan kejohanan untuk satu tempoh masa dan dia bergelut untuk kembali,” kata Djokovic.

    “Dia pemain yang sangat baik dalam keadaan ini dan set kedua sepatutnya menjadi miliknya, apabila dia mendahului 4-2.

    “Saya tidak tahu sama ada kemenangan saya dalam set kedua mungkin memberikan beban tambahan kepadanya,” ujarnya.

    Djokovic seterusnya akan bertemu pemain Australia, Alexei Popyrin yang dikalahkannya di Terbuka Australia dan Wimbledon tahun ini dengan kedua-dua perlawanan berakhir dalam empat set.

    Popyrin mencatat prestasi cemerlang setelah memenangi Masters Montreal yang berprestij pada malam Terbuka AS. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda