MELBOURNE, 15 JAN – Novak Djokovic melakar secebis sejarah Grand Slam dalam perjalanannya ke pusingan ketiga Terbuka Australia hari ini manakala finalis wanita tahun lalu, Zheng Qinwen, tersingkir dalam kejutan terbesar setakat ini.
Juara bertahan, Aryna Sabalenka, pemenang dua kali Melbourne, Naomi Osaka, dan Carlos Alcaraz turut menjadi pemenang pada hari keempat kejohanan.
Djokovic memerlukan empat set untuk perlawanan kedua berturut-turut sebelum menewaskan pemain kelayakan Portugal, Jaime Faria 6-1, 6-7 (4/7), 6-3, 6-2.
Ia adalah perlawanan perseorangan ke-430 Djokovic di kejohanan utama yang mencatat rekod peribadi paling banyak membuat penampilan sama ada bagi pemain lelaki atau wanita, dalam era Terbuka mendahului Roger Federer (429) dan Serena Williams (423).
Pemain kelahiran Serbia itu sedang mengejar gelaran Terbuka Australia ke-11 dan kejuaraan Grand Slam ke-25.
“Sama ada saya menang atau kalah, saya akan sentiasa berusaha sedaya upaya bermain di gelanggang. Saya rasa bertuah untuk mencipta satu lagi rekod,” kata Djokovic, 37, kini dilatih oleh bekas pesaing, Andy Murray.
Djokovic diundi untuk bertemu pemain panas Sepanyol, Alcaraz, dalam pusingan lapan terakhir.
Pemenang Grand Slam empat kali, Alcaraz hanya tewas lima perlawanan untuk melangkah ke pusingan ketiga.
Pemain pilihan ketiga itu tidak memberikan peluang kepada Yoshihito Nishioka dari Jepun yang tewas 6-0, 6-1, 6-4 dalam masa 81 minit. – AFP