VIENNA, 29 OKT – Novak Djokovic semakin hampir menyamai rekod Pete Sampras pada akhir tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia untuk kali keenam ketika dia mara ke suku akhir ATP Vienna semalam.
Djokovic mengalahkan Borna Coric dari Croatia 7-6 (13/11), 6-3 dan akan mendapat tempat teratas akhir tahun ini selagi Rafael Nadal tidak membawa ‘wild card’ ke kejohanan Sofia bulan depan. Sekiranya pemain Serbia berusia 33 tahun itu memenangi gelaran Vienna pada hujung minggu ini, dia akan memastikan mencapai rekod itu tanpa mengira Nadal bermain di Bulgaria atau tidak.
Djokovic, yang kini mempunyai 39 kemenangan dan hanya kalah dua kali pada tahun 2020, telah menjadi pemain ranking teratas pada akhir musim sebanyak lima kali pada tahun 2011, 2012, 2014, 2015 dan 2018. Dia berkongsi kejayaan itu dengan pesaing rapat, Roger Federer dan Nadal. Sampras mencapai kejayaan itu enam tahun berturut-turut antara 1993 dan 1998.
“Sampras adalah idola semasa saya membesar dan saya akan kagum dan berbangga apabila mengikat rekodnya dengan menjadi nombor satu dunia akhir tahun ini buat kali keenam,” kata Djokovic hari ini.
Djokovic juga mempunyai sasaran lain untuk mengalahkan rekod dipegang Federer iaitu sepanjang 310 minggu berada di tangga teratas. – AFP