Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic mara ke suku akhir Shanghai Masters

    SHANGHAI, 8 OKT – Novak Djokovic mengatasi keletihan dan meneruskan permainan meskipun mengalami kecederaan pada buku lalinya kelmarin,dan akhirnya mencipta kemenangan untuk mara ke suku akhir perlawanan Shanghai Masters setelah berjaya menewaskan Jaume Munar dari Sepanyol 6-3, 5-7, 6-2.

    Kemenangan ini mengekalkan Djokovic sebagai pilihan utama untuk merangkul gelaran kelima rekodnya di pusat kewangan China, dengan pemain utama lain sama ada menarik diri atau tersingkir.

    Pemain berusia 38 tahun itu hampir kelihatan tidak mampu meneruskan permainan apabila perlawanan telah masuk ke set penentuan, tetapi beliau berjaya mengumpulkan tenaga untuk mematahkan lawannya yang lebih muda sepuluh tahun sebanyak dua kali dalam set ketiga.

    “Terima kasih, terima kasih semua, saya sayang kamu!” jeritnya dalam bahasa Cina kepada penonton yang mengaguminya sebelum meninggalkan gelanggang hampir sejurus perlawanan tamat.

    Juara 24 Grand Slam itu memulakan perlawanan dengan baik walaupun kelembapan udara 84 peratus, mematahkan Munar pada perlawanan keempat.

    Novak Djokovic semasa mengikuti perlawanan perseorangan lelaki dalam kejohanan tenis Shanghai Masters di Shanghai pada 7 Oktober. – AFP

    Masalah Djokovic bermula tidak lama selepas itu apabila buku lali kirinya tergelincir ke belakang ketika dia berlari ke arah jaring, menyebabkan beliau terpaksa mengambil masa rehat untuk mendapatkan perubatan.

    Djokovic telah menerima rawatan lagi pada set kedua dan kelihatan semakin penat, kerap membongkok antara rally dan muntah di gelanggang.

    Para penyokong yang melambaikan bendera Serbia bersorak menyokong beliau, tetapi Munar, yang berada di ranking ke-41, akhirnya mematahkan Djokovic pada perlawanan ke-12 set kedua selepas kesilapan tidak dipaksa dari lawannya.

    Djokovic yang kesakitan rebah ke lantai dan kekal terbaring ketika seorang pegawai perubatan berlari ke arahnya.

    Djokovic kini merupakan pemain tertua yang mara ke suku akhir ATP Masters 1000, serta pemain berperingkat tertinggi yang masih berada di Shanghai.

    Djokovic seterusnya akan menentang Zizou Bergs yang berada di ranking ke-44. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda