Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic mara, Kerber dan Halep gulung tikar

    EASTBOURNE, United Kingdom, 30 Jun – Novak Djokovic mengetepikan tentangan sengit Donald Young untuk kemenangan 6-2, 7-6 (11/9), sekali gus mara ke peringkat separuh akhir kejohanan pra Wimbledon di Eastbourne, awal pagi tadi.

    Diletakkan selaku pilihan utama, Djokovic menyelamatkan beberapa mata akhir pada set kedua sebelum mengecewakan Young selepas aksi tie-break yang panjang.

    “Set pertama berjalan dengan lancar dan saya bermain dengan baik, saya merasa hebat di gelanggang,” kata Djokovic. “Set kedua pula amat sengit. Jelas ia dengan mudah boleh berpihak kepadanya.

    “Saya hanya lega dengan cara saya mengekalkan ketenangan dan rasa gemuruh saya. Ini adalah perlawanan yang saya inginkan, dan saya lega ia berlaku hari ini dan berjaya mengatasinya.”

    Begitupun dalam aksi wanita, pilihan utama Angelique Kerber tersingkir di peringkat suku akhir, namun kekalahan pilihan kedua, Simona Halep membolehkan pemain Jerman itu mengekalkan status ranking nombor satu dunianya di Wimbledon.

    Ketika kejohanan tergendala berikutan hujan, Kerber mudah melepasi pusingan ketiga dengan kemenangan 6-2, 6-1 ke atas Lara Arruabarrena namun langkah sekali lagi ke dalam gelanggang pada hari sama menyebabkan dia tersingkir.

    Novac Djokovic meraikan kejayaan selepas menewaskan Donald Young untuk mara ke separuh akhir pra-Wimbledon, kelmarin. – AFP
    Novac Djokovic meraikan kejayaan selepas menewaskan Donald Young untuk mara ke separuh akhir pra-Wimbledon, kelmarin. – AFP

    Kerber tewas kepada pemain pilihan kelima, Johanna Konta yang juga pemain pilihan tuan rumah, 6-3, 6-4.

    “Keadaannya amat sukar. Terutama pada hari sebelum ini di mana kami terpaksa menunggu sepanjang hari dan mundar-mandir di dalam dan luar gelanggang,” kata Kerber.

    “Kemudian, ia cerah dan mendung kembali, separuh cerah di gelanggang. Jadi ia amat sukar terutama ketika penghujung hari di mana keadaannya menjadi sedikit licin dan dingin.

    “Tetapi pada akhirnya, ia perlawanan yang baik. Dia bermain dengan amat bagus pada detik penting.”

    Halep dalam pada itu tewas kepada bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki 5-7, 6-4, 6-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

    Lawan Djokovic selepas ini ialah pemain Rusia berusia 20 tahun, Daniil Medvedev yang mengecewakan pilihan kelima dari Amerika Syarikat, Steve Johnson 6-3, 2-6, 6-3 dalam satu lagi aksi suku akhir.

    Satu lagi aksi separuh akhir menemukan dua pemain Perancis, Richard Gasquet dan Gael Monfils. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda