NEW YORK, 27 OGOS – Juara bertahan dan pemain ranking tertinggi, Novak Djokovic mara ke pusingan kedua Terbuka AS hari ini, sementara juara Terbuka Perancis, Ashleigh Barty dan pemain pilihan ketiga, Karolina Pliskova bergelut namun mara.
Bintang Serbia, Djokovic, yang memenangi empat daripada lima gelaran perseorangan Grand Slam kebelakangan ini, dengan mudah menyingkirkan pemain ranking ke-76, Roberto Carballes Baena 6-4, 6-1, 6-4.
“Ia memerlukan masa untuk anda menyesuaikan diri di atas gelanggang. Dalam set-set seterusnya saya berjaya mengambil kelebihan dalam detik-detik penting dan mara, itu yang penting,” kata Djokovic.
Djokovic, mahu menjadi pemenang berturut-turut pertama di Terbuka AS sejak Roger Federer memenanginya pada 2004 hingga 2008, akan berdepan sama ada Sam Querrey dari Amerika atau Juan Ignacio Londero dari Argentina.
“Saya agak teruja dengan permainan saya dan tidak sabar untuk menghadapi saingan seterusnya,” kata Djokovic.
Djokovic memiliki 16 gelaran Grand Slam dan kini mengejar rekod 20 Grand Slam yang dimenangi oleh Federer, sementara bintang Sepanyol, Rafael Nadal memiliki 18 gelaran.
Digelar sebagai pemain ‘Tiga Terbaik’, dia telah memenangi 11 gelaran Slam kebelakangan ini dan sekali lagi menjadi pemain pilihan untuk menjuarai kejohanan itu. – AFP
