PARIS, 5 JUN – Novak Djokovic berkata menewaskan Alexander Zverev adalah ‘bukti kemampuannya’ mampu bersaing di peringkat tertinggi selepas pemain berusia 38 tahun itu mara ke separuh akhir di Roland Garros sekali gus menghampiri rekod kejuaraan Grand Slam ke-25.
Djokovic menewaskan pemain pilihan ketiga, Zverev 4-6, 6-3, 6-2, 6-4 dalam pertandingan sesi malam, di gelanggang Court Philippe Chatrier selama tiga setengah jam.
Pemenang Grand Slam 24 kali itu mara ke peringkat separuh akhir untuk berdepan pemain nombor satu dunia Jannik Sinner, selepas pemain Itali itu sebelumnya bersaing melepasi pemain bukan pilihan, Alexander Bublik, dalam straight set.
“Jannik berada dalam prestasi yang luar biasa dan dia telah menjadi pemain terbaik sejak beberapa tahun lalu,” kata Djokovic.
“Sudah tentu ia akan menjadi separuh akhir Grand Slam menentang nombor satu di dunia. Tiada peluang yang lebih besar untuk saya, jadi saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk meningkatkannya dan beraksi sebaik mungkin seperti yang saya lakukan malam ini.
“Saya hanya berharap akan dapat bersaing secara fizikal dengan Sinner dalam masa beberapa hari lagi. Ia adalah satu cabaran besar untuk saya,” tambahnya.
Di gelanggang tengah, naib juara tahun lalu Zverev telah berjaya melakukan pematah servis ketika dia memenangi perlawanan pembukaan menentang Djokovic.
Ia adalah kali pertama bekas pemain nombor satu dunia, Djokovic, ketinggalan satu set di Terbuka Perancis tahun ini. – AFP
