PARIS, 20 MEI – Juara bertahan Novak Djokovic, pemenang 13 kali Rafael Nadal dan bintang remaja baharu Carlos Alcaraz diundi dalam kumpulan yang sama untuk Terbuka Perancis kelmarin.
Pemain nombor satu dunia, Djokovic dan Nadal, yang berada di ranking lima, menjadi pilihan untuk bertemu seawal suku akhir.
Alcaraz, 19, pula membida untuk menjadi remaja kelapan memenangi gelaran Grand Slam lelaki.
Beliau boleh menentang sama ada Djokovic atau Nadal, yang memegang rekod 21 kejohanan utama, pada separuh akhir dalam undian paling sengit untuk Grand Slam kedua musim ini.
Djokovic, yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-35 pada Ahad ini, iaitu hari pembukaan di Roland Garros, berdepan pemain ranking ke-94 Yoshihito Nishioka dari Jepun pada pusingan pertama.
Beliau bersemangat untuk mempertahankan gelarannya kali ini setelah diusir dari Melbourne pada Januari lalu kerana keengganannya untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Nadal pula akan berdepan pemain Australia, Jordan Thompson dalam pusingan pertama. – AFP
