CANBERRA, 17 NOV – Kerajaan Australia membatalkan larangan ke atas bintang tenis, Novak Djokovic memasuki negara itu, sekali gus membuka laluan untuknya bersaing pada Terbuka Australia, lapor Xinhua.
Andrew Giles, Menteri Imigresen pada Khamis mengesahkan Djokovic telah diberikan visa sementara untuk memasuki negara itu.
Ia berlaku kira-kira 10 bulan selepas warga Serbia itu ditahan di Melbourne pada malam Grand Slam kerana cuba memasuki negara itu tanpa vaksinasi COVID-19.
Berikutan kes undang-undang, Djokovic dihantar pulang dan secara automatik dilarang memasuki Australia selama tiga tahun.
Giles bagaimanapun membatalkan larangan itu.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata sekatan sempadan ketat yang melarang bukan warganegara yang tidak divaksinasi daripada memasuki negara ini telah ditarik balik.
“Sejak pembatalan visa Djokovic pada Januari 2022, semua sekatan sempadan Australia berkaitan COVID-19 di bawah Akta Biosekuriti 2015 telah ditamatkan, termasuk keperluan untuk memberi bukti status vaksinasi COVID-19 untuk memasuki Australia.”
Sebelum diusir, Djokovic menyasarkan kejuaraan perseorangan lelaki keempat berturut-turut di Melbourne Park.
Bercakap di Turin pada Pusingan Akhir ATP, Djokovic berkata beliau “sangat gembira” dapat kembali ke Australia.
“Saya menerima berita yang sangat baik – semasa kejohanan ini juga. Terbuka Australia adalah Grand Slam saya yang paling berjaya. Saya catat beberapa kenangan terbaik di sana,” katanya.
Kejohanan Terbuka Australia 2023 akan berlangsung dari 16 hingga 29 Januari. – Bernama