ACAPULCO, Mexico, 28 Feb – Novak Djokovic (gambar) semalam berkata dia sudah bersedia untuk menebus penyingkiran mengejutnya di Terbuka Australia ketika dia bersedia untuk kembali beraksi di Acapulco.
Pemain nombor dua dunia yang berusia 29 tahun itu bakal beraksi dalam perlawanan pertamanya hari ini, kejohanan pertamanya sejak tewas di Melbourne bulan lalu pada pusingan kedua menentang Denis Istomin dari Uzbeksitan.
Kekalahan Terbuka Australia itu adalah titik paling rendah terhadap prestasi, yang semakin merosot, bekas pemain nombor satu dunia dari Serbia itu, yang hanya memenangi dua gelaran sejak Julai tahun lepas.
Djokovic, yang membuat aksi kembali di Acapulco, berkata dia merasakan minda yang lebih sihat sejak kerja keras beberapa bulan lalu.
“Pada keseluruhannya, saya merasakan dalam kedudukan minda yang lebih baik berbanding pada akhir tahun lepas. Jadi saya perlu meneruskan. Saya suka dengan sukan ini. Sebab itu mengapa saya beraksi, mengapa saya berada di sini. Saya hanya berharap saya kekal sihat dan dedikasi sebaik yang mungkin ,” kata Djokovic.
Djokovic, yang menentang Martin Klizan dari Slovakia pada pusingan pertama, mengakui tersingkir di Melbourne lebih awal adalah keadaan yang mengejutkan.
“Saya belum pernah mengalami kekalahan minggu pertama Terbuka Australia sejak beberapa tahun,” kata Djokovic.
“Tetapi ia adalah normal dan berharap untuk melupakan detik itu apabila anda tidak beraksi dengan sebaik yang mungkin, atau mungkin pesaing mencatatkan hari yang menarik. Ia adalah sukan. Anda perlu berdepan dengannya, dan anda akan selalu belajar lebih banyak daripada kekalahan seperti itu.”
Dalam aksi pusingan yang lebih awal semalam, pemain pilihan kelapan dari Amerika Syarikat (AS), John Isner dikecewakan oleh pesaing Steve Johnson, tewas dengan kiraan ‘straight set’ 6-4, 6-4.
Pemain pilihan kelima, David Goffin tidak menghadapi kesukaran, mara setelah mengatasi Stephane Robert dari Perancis dengan kemenangan 6-1, 6-2. – AFP