Djokovic sedia untuk perbicaraan pengecualian vaksin

MELBOURNE, 9 JAN – Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic menyediakan buktinya hari ini untuk berusaha kekal di Melbourne dan mempertahankan gelaran Terbuka Australia, dengan menegaskan bahawa dia telah diberikan kebenaran kerana ujian positif koronavirus pada Disember lalu.

Pergelutan Djokovic untuk mengubah pembatalan visanya secara mendadak dan penahanannya di pusat tahanan imigresen yang terkenal akan mencapai kemuncaknya dalam perbicaraan secara maya di mahkamah persekutuan pada hari Isnin.

Pemain bintang Serbia itu telah menunggu keputusan perbicaraan itu di sebuah pusat bekas Hotel Park, bangunan lima tingkat yang mampu menampung 32 warga asing yang terperangkap dengan sistem imigresen Australia selama beberapa tahun.

Tiada siapa yang dibenarkan masuk atau keluar kecuali kakitangan.

Lebih daripada 100 orang penunjuk perasaan, kebanyakan mereka adalah aktivis hak asasi warga asing, telah berkumpul di taman bersebelahan dengan hotel berkenaan.

Aktivis memegang sepanduk semasa perhimpunan di luar pusat tahanan kerajaan tempat juara tenis Serbia, Novak Djokovic tinggal di Melbourne pada 9 Januari – AFP

“Bebas, bebaskan, pelarian,” orang ramai melaungkan ketika puluhan polis berdiri.

Sepanduk besar dibentangkan di atas tanah, bertulis: “Keadilan untuk pelarian” dan “kami menghantar rasa sayang kepada awda setiap hari”. Beberapa lelaki yang ditahan di dalam hotel boleh dilihat memerhati melalui tingkap pusat tahanan.

Dengan hanya tinggal lapan hari sebelum 17 Januari untuk Terbuka Australia bermula, mana-mana penangguhan boleh melenyapkan harapan pemain berusia 34 tahun itu untuk memenangi gelaran ke-10 di Melbourne, dan rekod gelaran Grand Slam ke-21.

Dalam arahan yang dikeluarkan kepada awam hari ini, hakim mahkamah, Anthony Kelly berkata bahawa kes tersebut akan berjalan seperti yang dijadualkan pada 10 pagi, Isnin bersamaan 11 malam waktu tempatan, menolak permintaan kerajaan untuk menangguhkan sehingga hari Rabu.

Peguam Djokovic memberikan 35 muka surat dokumen kelmarin mengatakan bahawa visanya telah tersilap batal dan harus dikembalikan semula, membolehkan dia ikut bertanding.

Pasukannya turut mendakwa bahawa ujian PCR positif Djokovic pada 16 Disember 2021 bermakna dia memenuhi kriteria untuk pengecualian vaksin di bawah bimbingan penasihat imunisasi Australia sendiri. – AFP