Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic tak dapat lupakan kenangan pahit

    ADELAIDE, 29 DIS – Novak Djokovic (gambar – AP) kelmarin mengaku bahawa kenangannya dibuang negara dari Australia adalah satu pengalaman yang tidak akan dia lupakan, tetapi ini merupakan masa untuk berhenti memikirkannya, setelah dia menerima sambutan yang meriah di Adelaide.

    Bintang dari Serbia itu, yang sedang memburu rekod bersamaan gelaran juara ke-22 Grand Slam dalam Terbuka Australia pada bulan depan, telah kembali ke negara ini pada hari Selasa, hampir setahun selepas ditendang keluar kerana enggan mengambil suntikan vaksin COVID.

    Dia pada awalnya telah dilarang untuk kembali selama tiga tahun, namun sejak itu, Australia sudah menarik balik keperluan untuk para pengembara menunjukkan bukti vaksinasi COVID dan kerajaan baharu di Canberra telah mengesahkan pada bulan lepas bahawa pemain dari Serbia itu tidak lagi dihalang untuk masuk.

    “Ia merupakan salah satu perkara yang melekat dengan awda, kekal bersama dengan awda, saya rasa, untuk sepanjang hidup awda,” Djokovic berkata semasa tiba di Adelaide International.

    “Seperti yang saya katakan, ia adalah sesuatu yang tidak pernah saya alami sebelum ini dan berharap tidak akan berlaku lagi.

    Aksi Djokovic semasa sesi latihan sebelum Kejohanan Tenis Adelaide International di Adelaide, Australia, kelmarin. – AP

    “Namun, ia merupakan pengalaman hidup yang begitu bernilai dalam hidup saya dan akan kekal di sana, tetapi saya harus berhenti daripada memikirkannya.

    “Kembalinya saya ke Australia membuktikan perasaan saya mengenai negara ini, perasaan saya mengenai bermain di sini.”

    Ketua Eksekutif Tenis Australia, Craig Tiley pada minggu ini berkata bahawa dia berharap peminat tempatan dapat mengalu-alukan kepulangan Djokovic.

    “Saya baru berada di sini selama dua hari, namun orang ramai di hotel, di lapangan terbang, di kejohanan dan di kelab, semuanya sangat ramah terhadap saya, jadi semuanya baik-baik sahaja sekarang,” katanya.

    “Saya selalu berasa bagus di Australia, sentiasa, awda tahu, aksi permainan terbaik saya di sini, saya terima banyak sokongan, jadi harapnya saya dapat menikmati satu lagi musim panas yang hebat.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda