TORONTO, KANADA, 24 JULAI – Bintang tenis dunia nombor dua, Novak Djokovic, telah memutuskan untuk menarik diri daripada Kejuaraan Masters ATP Toronto atas alasan keletihan, seperti yang diumumkan oleh Tennis Kanada semalam.
Pengumuman itu dibuat seminggu selepas juara 23 kali Grand Slam dari Serbia itu mengalami kekalahan daripada pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz dalam perlawanan akhir Wimbledon.
Keputusan pemain terkenal itu mengejutkan peminat tenis dan menyebabkan kekecewaan bagi penyokong yang berharap untuk melihatnya beraksi dalam kejuaraan persiapan Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan bermula 7 Ogos nanti.
“Saya sentiasa menikmati masa saya di Kanada, tetapi setelah berbincang dengan pasukan saya, kami percaya ia adalah keputusan yang tepat untuk diambil,” kata Djokovic dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Tennis Kanada.
Selaku empat kali juara dalam Kejohanan Toronto, penarikan diri Djokovic pasti memberikan kesan besar kepada para pesaing kejohanan tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengarah kejohanan, Karl Hale kerana memahami keputusan ini. Saya sangat berharap saya dapat kembali semula ke Kanada dan Toronto pada tahun-tahun akan datang untuk bermain di hadapan peminat di sana,” katanya.
Kekalahan Djokovic di Wimbledon di tangan Alcaraz telah menyebabkan penantian rekod kelapan gelaran juara Wimbledon itu bertambah panjang.
Kemenangan itu juga menamatkan peluang Djokovic berusia 36 tahun untuk ke kalendar Grand Slam selepas kejayaannya di Terbuka Australia dan Terbuka Perancis menjadikan jumlah gelaran majornya mencapai 23, rekod dalam kalangan pemain lelaki.
Berikutan penarikan diri Djokovic daripada kejohanan yang bermula pada 5 Ogos, Christopher Eubanks dari Amerika Syarikat (AS) kini akan mendapat kemasukan automatik ke dalam undian utama. – AFP
