Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic tempah pusingan ketiga

    NEW YORK, 31 OGOS – Novak Djokovic mengekalkan prestasi cemerlangnya di Terbuka AS untuk mara ke pusingan ketiga dengan menewaskan pemain Sepanyol, Bernabe Zapata Miralles dalam straight set, semalam.

    Pilihan kedua dari Serbia itu, yang mengintai gelaran Grand Slam ke-24, menempah tiket ke pusingan 32 terakhir dengan kemenangan 6-4, 6-1, 6-1.

    Djokovic hanya memerlukan 1 jam 59 minit untuk mengatasi Zapata Miralles.

    Dalam keadaan panas dan lembap di Stadium Arthur Ashe, Djokovic membuat Zapata Miralles keletihan pada set pertama.

    Sebaik memasuki set kedua, juara tiga kali Terbuka AS itu terus menamatkan langkah lawannya itu.

    Reaksi Novak Djokovic selepas menewaskan Bernabe Zapata semasa kejohanan tenis di Pusat Tenis USTA Billie Jean King di New York pada 30 Ogos. – AFP

    “Saya masih beraksi dengan baik walaupun sudah agak berusia,” seloroh pemain berusia 36 tahun itu ketika ditemu bual di gelanggang selepas meraih kemenangan.

    “Ia adalah perlawanan yang sukar, terutamanya pada set pertama. Saya tidak bermula dengan langkah kanan tetapi di set kedua dan ketiga perlawanan, tahapnya lebih berkualiti. Saya gembira dengan cara saya menamatkan perlawanan ini.”

    Walaupun Djokovic hanya tercicir 11 perlawanan dalam dua aksi pembukaannya, pemain Serbia itu percaya terdapat banyak ruang untuk diperbaiki ketika kejohanan berlangsung.

    “Saya masih rasa saya boleh bermain lebih baik,” kata Djokovic, yang memberi jaminan akan kembali ke kedudukan teratas ranking dunia dengan kemenangan pusingan pertamanya pada Isnin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda