PARIS, 31 Okt – Novak Djokovic teruskan kemaraan untuk merampas gelaran pemain nombor satu dunia apabila menang 7-5, 6-1 ke atas Joao Sousa di kejohanan tenis Paris Masters, awal pagi tadi.
Sementara itu, Roger Federer pula mengesahkan dia akan menyertai kejohanan itu buat kali pertama sejak 2015.
Djokovic mampu merampas kedudukan Rafael Nadal pada minggu ini jika dia mempamerkan prestasi lebih baik berbanding pencabarnya dari Sepanyol itu dalam perlawanan di ibu negara Perancis, di mana pemain dari Serbia itu memenangi gelaran kejohanan dewan tertutup itu sebanyak empat kali.
Setakat ini, Djokovic juga tidak pernah tewas satu set ketika lima kali berdepan dengan Sousa dari Portugal, tetapi dalam aksi pagi tadi, dia ketinggalan 1-4 pada aksi pembukaan sebelum bangkit menang 6-5.
Selepas mengenepikan Sousa, juara Grand Slam 14 kali, Djokovic bakal berdepan Damir Dzumhur dari Bosnia dalam pertembungan peringkat 16 terbaik. Dzumhur mara selepas menumbangkan bintang Greek yang juga pilihan ke-14, Stefanos Tsitsipas dengan keputusan 6-3, 6-3.

Sementara itu, Federer pula akan memulakan aksi menentang pemain Kanada, Milos Raonic awal pagi esok selepas mendapat bye pada pusingan pertama.
Kali terakhir Federer meraih kemenangan di Bercy ialah pada 2011 dan ketika penampilan terakhir pada 2015, dia dikejutkan oleh pemain sensasi Amerika Syarikat (AS), John Isner di pusingan 16 terbaik.
Bintang Switzerland ini terlepas dua siri terakhir kejohanan di Paris akibat kecederaan serta terpaksa memilih kejohanan akibat jadual yang padat. Dia juga tersingkir dalam tiga penampilan terakhir Terbuka Perancis.
Ia juga kejohanan bukan Grand Slam yang pertama disertai ramai pemain ternama, termasuk Federer, Nadal dan Djokovic sejak Indian Wells Masters pada tahun lalu.
“Bagi saya, lebih baik saya beraksi di kejohanan berbanding hanya menjalani latihan. Selagi ia tidak menjejaskan kesihatan dan persiapan saya ke London, ia tidak menjadi isu besar, kerana itulah keutamaan saya,” kata Federer.
“Saya gembira untuk beraksi. Saya rasa sudah pulih sepenuhnya sejak minggu lalu. Jadi, saya akan beraksi esok dan begitu teruja untuk turun ke gelanggang,” katanya yang menjuarai kejohanan dalam dewan di Basel, Switzerland, Ahad lalu. – AFP