PARIS, 2 MAC – Permulaan Novak Djokovic yang bergolak pada 2022 mencatat perkembangan baharu hari ini apabila juara Grand Slam 20 kali itu mendedahkan dia telah berpisah dengan jurulatih lamanya Marian Vajda selepas kejohanan Final ATP pada tahun lalu.
Djokovic dihantar pulang sehari sebelum kejohanan Terbuka Australia pada Januari dan pada Isnin kehilangan ranking nombor satunya kepada pemain Rusia Daniil Medvedev.
“Marian telah berada di sisi saya pada masa paling penting dan tidak dapat dilupakan dalam kerjaya saya,” kata Djokovic, 34 tahun, di laman webnya.
Djokovic telah bekerja dengan jurulatih Slovakia itu sejak dia masih remaja pada 2006, walaupun mereka berpisah selama setahun pada 2017.
“Bersama kami berjaya mencapai beberapa kejayaan yang menakjubkan dan saya amat berterima kasih atas persahabatan dan dedikasinya dalam tempoh 15 tahun lalu.”
Vadja telah berhenti bekerja dengan Djokovic susulan kejohanan jelajah final di Turin pada November. Dia tidak dilihat sebagai sebahagian pasukan bilik belakang Djokovic di Melbourne sebelum pemain Serbia itu dihantar pulang dalam perbalahan visa berhubung status vaksinasi COVID-19.
“Sepanjang masa saya bersama Novak, saya bernasib baik menyaksikannya berubah menjadi pemain hebat hari ini,” kata Vajda.
“Saya akan melihat kembali masa kami bersama dengan perasaan amat bangga.” – AFP
