Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Djokovic umum tarik diri dari Paris Masters

    PARIS, 22 OKT – Novak Djokovic kelmarin mengumumkan bahawa dia akan terlepas kejohanan Paris Masters yang akan datang dan berharap dapat menyertai kejohanan itu pada tahun hadapan.

    Djokovic tidak bermain perlawanan rasmi sejak tewas kepada Valentin Vacherot, yang ketika itu berada di kedudukan nombor 204 dunia, pada separuh akhir Shanghai Masters awal Oktober lalu.

    Pemain berusia 38 tahun itu mengalami masalah fizikal sepanjang perlawanan tersebut, muntah di tepi gelanggang dan menerima rawatan perubatan beberapa kali.

    “Paris yang dikasihi, malangnya saya tidak akan bertanding pada kejohanan tahun ini,” kata pemenang 24 gelaran Grand Slam itu di media sosial.

    “Saya mempunyai kenangan indah dan kejayaan hebat sepanjang tahun, terutamanya dapat menjuarai gelaran ini sebanyak tujuh kali. Harap dapat bertemu awda semua di tahun hadapan,” ujar Djokovic.

    Novak Djokovic mengumumkan bahawa dia akan terlepas Paris Masters yang bakal berlangsung dan berharap dapat menyertai kejohanan itu tahun hadapan. – AFP
    Aksi Novak Djokovic semasa perlawanan di kejohanan tenis pameran Six Kings Slam di Riyadh pada 18 Oktober. – AFP

    Minggu lalu, Djokovic terpaksa menarik diri daripada perlawanan tempat ketiga menentang pemain Amerika, Taylor Fritz, di Six Kings Slam, Arab Saudi.

    Pemain Serbia itu juga tidak menyertai Paris Masters musim lalu kerana dia telah mengurangkan secara drastik jumlah kejohanan yang disertainya ketika meneruskan usaha untuk memenangi gelaran utama ke-25 bagi memecahkan rekod.

    Pemain nombor 10 dunia, Holger Rune, juga akan terlepas Paris Masters tahun ini, yang bakal berlangsung dari 27 Oktober hingga 2 November, selepas mengumumkan beliau menjalani pembedahan pada tendon Achilles.

    “Pembedahan berjalan dengan baik. Saya akan berkongsi perkembangan pemulihan saya. Tetapi sekarang masa untuk berehat dan sembuh,” kata pemain Denmark itu kelmarin di Instagram. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda