Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Dayangku Mas Siti Noor binti Pengiran Haji Mohd Alam tidak dapat menahan kegembiraannya apabila kotak yang dipilih mengandungi kunci yang betul untuk menghidupkan enjin sekali gus membawa pulang kereta Toyota Vios bagi Promosi Cabutan Bertuah Utama Gold ‘N’ Drive yang berlangsung di Times Square, Berakas, kelmarin.
Pada majlis berkenaan, seramai 15 orang pelanggan bertuah merupakan finalis bagi acara cabutan utama hadir untuk menentukan pemenang bertuah yang membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Toyota Vios.
Acara promosi anjuran OKKY Jewellery Sdn Bhd dan Masjaya Goldsmith itu telah berjalan dari 1 Mei 2019 hingga 30 April 2020 di 11 buah cawangan di seluruh negara dengan 15 orang finalis bertuah telah diumumkan pada 19 Oktober lalu di laman media sosial, Instagram dan Facebook.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bertuah dalam acara promosi cabutan bertuah berkenaan ialah tetamu khas, Pengiran Haji Manshor bin Pengiran Haji Jaya dan pemilik OKKY Jewellery Sdn Bhd, Alan Khoo.
Pada majlis cabutan bertuah itu, Pengiran Haji Mansor turut membuat cabutan bagi menentukan 12 orang pemenang hadiah-hadiah termasuk peralatan elektrik dan baucar wang tunai.
Sementara itu, membawa pulang hadiah kedua berupa baucar wang tunai berjumlah $5,000 ialah Hajah Aini binti Haji Mahrop dan Dayang Rafidah Jumat membawa pulang hadiah ketiga berupa baucar wang tunai berjumlah $3,000.
