Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dk Siti Nurkhairina terima Biasiswa Canselor

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah berkenan menganugerahkan Biasiswa Canselor bagi sesi akademik 2024/2025 kepada salah seorang pelajar cemerlang, Dayangku Siti Nurkhairina binti Pengiran Metusin.

    Sehubungan itu, satu majlis penandatanganan dan penyampaian Biasiswa Canselor 2024/2025 telah diadakan petang tadi di Ruang Bicara Minda, Perpustakaan UBD, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil anugerah berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh. Turut hadir Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Majlis dimulakan dengan penandatanganan bagi pihak UBD yang disempurnakan oleh Dr Hazri, dengan Yang Berhormat Menteri Pendidikan sebagai saksi. Penerima Biasiswa Canselor akan meneruskan kerjaya sebagai pegawai akademik universiti di UBD selepas menamatkan pengajian.

    Dayangku Siti Nurkhairina adalah graduan Kelas Pertama dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dalam pengkhususan Tafsir dan Hadith serta minor dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan anugerah Biasiswa Canselor kepada Dayangku Siti Nurkhairina. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah hadir menyaksikan majlis penandatanganan Biasiswa Canselor yang diadakan di Ruang Bicara Minda, Perpustakaan UBD, UBD. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Beliau juga memegang Ijazah Sarjana Usuluddin dengan Kepujian di mana fokus penyelidikannya adalah mengenai Tafsir dan perkembangannya di Brunei Darussalam. Beliau mempunyai pengalaman kepimpinan sebagai Naib Presiden Kedua Majlis Pelajar UNISSA (2017/2018) dan telah memimpin pelbagai program pembangunan pelajar di bawah Majlis Pelajar.

    Dayangku Siti Nurkhairina akan meneruskan pengajian di peringkat PhD dalam Tafsir Al-Quran dan Sains (Ulum Al-Quran) di Universiti Jordan. Bidang yang dipilih adalah relevan untuk UBD dan beliau akan menyumbang dalam bidang Islam kontemporari di Pusat Kajian Islam Sultan Omar Ali Saifuddien, UBD.

    Biasiswa Canselor adalah biasiswa berprestij yang dianugerahkan setiap tahun kepada belia cemerlang negara yang mempunyai minat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang akademik di UBD.

    Pemegang biasiswa akan menerima pendidikan cemerlang di peringkat pascasiswazah, sehingga PhD di universiti terkemuka di seluruh dunia.

    Biasiswa Canselor diperkenalkan pada tahun 2012 dan sehingga kini, 15 pelajar telah menerima biasiswa berprestij ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda