Monday, November 25, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    D’Masiv tak mungkin berpecah

    Kesukaran hidup dilalui sekitar 21 tahun dahulu menjadi pedoman dan panduan untuk kumpulan D’Masiv kekal kuat dan bertahan sehingga hari ini.

    Vokalisnya iaitu Rian berkata meskipun berdepan pelbagai cabaran, namun sikap toleransi dan saling percaya membuatkan semua anggota asal kekal bertahan lama.

    Malah, mereka juga menjaga hubungan sesama anggota dan menganggap ia seperti satu keluarga.

    “Sejak dari awal penubuhan, inilah D’Masiv. Kami tidak pernah bertukar anggota baru.

    D’Masiv seperti rumah yang harus dijaga, jika berpecah pasti boleh mendatangkan kekecewaan banyak pihak.

    D’Masiv ada rahsia sendiri kekal bertahan selama 21 tahun. – mStar

    “Pada awal penubuhan sekitar 21 tahun dahulu kami pernah mendapat jemputan untuk membuat persembahan di sekolah dengan bayaran hanya Rp150,000 (sekitar RM44).

    “Wang itu kami bahagi lima. Kami juga makan nasi bungkus kongsi berlima. Sehingga sekarang kami berpegang kepada itu, apa sahaja hasil pendapatan kami bahagi lima.

    “Setiap minggu kami akan adakan perjumpaan untuk rancang masa depan. Malah setiap kali masuk studio rakaman, kami sentiasa rasa teruja dan merasakan seperti sebuah band baru,” katanya kepada mStar.

    Rian berkata demikian ketika majlis sidang media Amazing Concert D’Masiv yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

    Sementara itu, Rian memberitahu sepanjang mereka berkarya, soal populariti dan wang bukanlah ukuran utama.

    Sebaliknya keikhlasan dalam menghasilkan lagu menjadi kunci karya mereka mudah mendapat tempat di hati peminat.

    “Jika kami cipta lagu dalam mana-mana album, kami tidak pernah fikir soal duit, itu semua kami serahkan kepada pasukan promosi. Apa yang kami rasa, kami luahkan dalam lagu dan berdoa peminat akan suka.

    “Populariti dan wang adalah bonus. Kami hanya buat apa yang kami suka,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda